Am 29/09/2026 08:31 PM

Lebih 400,000 Peluang Pekerjaan Ditawarkan, Bantu Pekerja Terkesan Konflik Asia Barat

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lebih 400,000 Peluang Pekerjaan Ditawarkan, Bantu Pekerja Terkesan Konflik Asia Barat
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan mengetuai senarai 767 penerima darjah kebesaran dan pingat bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang ke-57, hari ini. Ramanan dianugerahkan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) yang membawa gelaran Datuk. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KOTA BHARU, 29 Sept (Bernama) -- Lebih 400,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi portal MYFutureJobs di bawah seliaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi membantu pekerja yang mungkin terkesan akibat konflik Asia Barat.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata walaupun kesan konflik itu terhadap sektor pekerjaan negara masih minimum, kerajaan sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya pemberhentian pekerja.

Beliau berkata kerajaan menerusi PERKESO turut menyediakan bantuan kepada individu yang hilang pekerjaan, selain menggalakkan mereka mencari kerjaya baharu yang bersesuaian menerusi portal berkenaan.

“Kita ada PERKESO untuk menyalurkan bantuan kepada mereka dan sementara menunggu pekerjaan baharu, mereka boleh melayari portal MYFutureJobs bagi mendapatkan pekerjaan yang sesuai atau lebih baik daripada sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V ke-57 di Istana Balai Besar, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata sektor pekerjaan negara ketika ini masih terkawal, namun kerajaan menjangkakan kemungkinan berlaku kehilangan pekerjaan sekiranya konflik berkenaan terus berlarutan.

“Memang akan ada yang berhenti kerja dan ada yang mungkin kehilangan pekerjaan, tetapi kita sudah bersedia termasuk menerusi PERKESO yang akan membantu menanggung kos mengikut kelayakan sama ada 100 peratus, 50 peratus atau 25 peratus.

“Jadi, kita tidak perlu terlalu bimbang kerana selain bantuan yang tersedia, terdapat juga peluang pekerjaan sedia ada dan keutamaan akan diberikan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA