Am 29/09/2026 08:21 PM

Banjir: Mahkamah Tinggi Benarkan Tuntutan 50 Penduduk Taman Sri Muda

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Banjir: Mahkamah Tinggi Benarkan Tuntutan 50 Penduduk Taman Sri Muda

SHAH ALAM, 29 Sept (Bernama) -- Seramai 50 penduduk Taman Sri Muda berjaya dalam saman mereka terhadap kerajaan dan beberapa pihak berkuasa awam berhubung banjir besar yang melanda kawasan itu pada Disember 2021.

Pesuruhjaya Kehakiman Shoba Rajah Dorai Rajah mendapati defendan pertama hingga keenam serta ke-10 bertanggungjawab atas kecuaian dan kegagalan berkaitan yang berpunca daripada insiden banjir itu, demikian menurut alasan penghakiman yang dikongsi dengan media hari ini.

Mahkamah memutuskan bahawa plaintif berjaya membuktikan kewujudan liabiliti, dengan tanggungjawab 100 peratus dipikul oleh semua defendan secara bersama dan berasingan.

Defendan terdiri daripada Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Menteri Alam Sekitar dan Air serta Kerajaan Malaysia.

Mahkamah turut mendapati bahawa Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertanggungjawab secara bersama dengan Kerajaan Persekutuan.

Mahkamah berkenaan memutuskan bahawa apabila sesuatu pihak berkuasa awam mengambil tanggungjawab terhadap pengurusan bencana, pemantauan cuaca, infrastruktur saliran atau operasi kawalan banjir, pihak berkenaan bertanggungjawab melaksanakan fungsi itu dengan tahap penjagaan dan kecekapan yang munasabah.

Justeru, plaintif berjaya membuktikan bahawa pihak berkuasa berkaitan mempunyai kewajipan menjaga kepentingan mereka dalam melaksanakan tugas operasi manakala fungsi defendan sebagai pihak berkuasa awam tidak memberikan kekebalan umum daripada tuntutan yang berpunca daripada kecuaian dalam pelaksanaan operasi.

Mahkamah turut menolak hujah defendan bahawa hujan luar biasa lebat adalah “Act of God” (Takdir Tuhan), dan memutuskan bahawa hujan lebat serta banjir adalah bencana alam yang boleh dijangka di negara beriklim tropika.

Mahkamah berpandangan adalah tidak memadai untuk sekadar membuktikan bahawa hujan itu luar biasa lebat atau melebihi kapasiti reka bentuk asal sistem saliran dan infrastruktur kawalan banjir.

Defendan perlu membuktikan bahawa kejadian itu amat luar biasa dan belum pernah berlaku sehingga tiada langkah jangkaan, persediaan atau tindakan operasi yang munasabah mampu mencegah kerosakan yang telah berlaku.

Menyentuh mengenai JPS Selangor, mahkamah memutuskan bahawa agensi itu mempunyai kewajipan operasi berterusan untuk mengurus, menyelenggara dan mengendalikan infrastruktur kawalan banjir dengan tahap kecekapan yang munasabah.

Mahkamah mendapati pengurusan operasi kemudahan pam telah menyumbang secara langsung kepada pengumpulan dan penakungan air banjir.

Bagi MBSA pula, mahkamah memutuskan bahawa walaupun aset utama kawalan banjir dimiliki oleh JPS, perkara itu tidak melepaskan MBSA daripada tanggungjawabnya sebagai pihak berkuasa tempatan.

Mahkamah seterusnya mendapati kebergantungan MBSA kepada pelan pembangunan yang sudah lapuk serta tanpa penilaian risiko semasa yang mencukupi, adalah kecuaian dalam perancangan dan pelanggaran kewajipan.

Justeru, mahkamah menerima pakai hujah plaintif berdasarkan prinsip sumbangan material, dengan memutuskan bahawa kesemua penduduk tidak perlu membuktikan bahawa kegagalan oleh mana-mana defendan adalah punca kepada keseluruhan kerosakan akibat banjir.

Tindakan dan kegagalan berbuat demikian secara bersepadu oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab telah menyumbang secara material kepada kerugian yang dialami plaintif manakala hujan lebat tidak memutuskan rantaian sebab-akibat apabila kegagalan operasi memburukkan keadaan, melambatkan proses pengaliran keluar air banjir atau meningkatkan secara ketara kerosakan yang berlaku.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Okt ini untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh pendengaran bagi pentaksiran jumlah ganti rugi.

Kesemua penduduk diwakili peguam James Joshua Paulraj, Regine Ng, Ahmad Badri Mustaffa, M Gobinath dan P. Taneswaran.

Peguam Kanan Persekutuan Al-Saifi Hashim, Nurul Farhana Khalid dan Liew Horng Bin hadir bagi pihak Kerajaan Persekutuan manakala Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor Faris Shah Kamarulzaman serta peguam Norazalina Hairuddin masing-masing mewakili JPS dan MBSA.

-- BERNAMA