KOTA BHARU, 29 Sept (Bernama) -- Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan menjadi individu pertama daripada komuniti India menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) sejak darjah kebesaran itu diperkenal pada 1925.
Beliau antara penerima SJMK sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-57 Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang berlangsung hari ini.
Darjah kebesaran SJMK membawa gelaran Datuk manakala keanggotaan bagi kelas SJMK terhad kepada 50 penerima.
Ramanan, yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, merafak sembah serta menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Sultan Muhammad V atas perkenan pengurniaan berkenaan.
Beliau menyifatkan pengurniaan itu sebagai satu penghormatan dan amanah untuk terus memperkukuh khidmat serta bakti kepada Raja, rakyat dan negara.
Turut dikurniakan SJMK pada istiadat berkenaan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Pengarah Urusan Sentosa Jaya Sdn Bhd Datuk Razali Daud, Pegawai Kewangan Negeri Kelantan Datuk Rosnazli Amin, Datuk Daniyar Kessikbayev, Datuk Leon Emil Le’mercier dan Datuk Mohd Khidir Yaacob.
Terdahulu, Ramanan antara senarai 767 penerima darjah kebesaran dan pingat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-57 Sultan Kelantan di Istana Balai Besar di sini.
-- BERNAMA