Dunia 29/09/2026 04:35 PM

Sempena Ulang Tahun Ke-65, OANA Tegaskan Semula Peranan Penting Basmi Maklumat Palsu

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sempena Ulang Tahun Ke-65, OANA Tegaskan Semula Peranan Penting Basmi Maklumat Palsu
MOSCOW, 21 Sept - Presiden OANA merangkap Ketua Pengarah TASS Andrey Kondrashov (dua, kanan) menyampaikan cenderahati kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-65 Pertubuhan Agensi Berita Asia-Pasifik (OANA) di sini hari ini. Turut hadir Setiausaha Agung OANA merangkap Timbalan Ketua Pengarah TASS Marat Abulkhatin (kiri) dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj (kanan). - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Oleh Salawaty Supardi

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Lebih enam dekad sejak ditubuhkan di Bangkok pada 1961, Pertubuhan Agensi Berita Asia-Pasifik (OANA) terus menjadi benteng utama rantau ini bagi pertukaran berita yang sahih dalam menghadapi lonjakan luar biasa manipulasi digital, maklumat palsu rentas sempadan dan perang maklumat.

Pada perhimpunan baru-baru ini di Moscow, Rusia, sempena ulang tahunnya yang ke-65, gabungan 41 anggota yang mewakili 35 negara dan dua pertiga daripada aliran berita global itu menegaskan semula peranan penting agensi berita nasional dalam mempertahankan integriti fakta ketika ekosistem media semakin berpecah.

Perhimpunan penting yang berlangsung dari 20 hingga 23 Sept dan anjuran Agensi Berita Rusia TASS, yang memegang jawatan Presiden OANA sehingga 2028, menghimpunkan pemimpin media yang mewakili lebih separuh penduduk dunia, sekali gus memperlihatkan solidariti media yang teguh dalam mendepani landskap digital yang mencabar.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), yang memainkan peranan aktif dalam OANA sejak menyertainya pada 1968, mengambil bahagian dalam acara itu sebagai anggota Lembaga Eksekutif, diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.

Antara agensi berita terkemuka yang menyertai perhimpunan itu ialah Agensi Berita Kuwait, Agensi Akhbar Saudi, Agensi Berita Yonhap Korea Selatan, Agensi Berita ANTARA Indonesia, Agensi Berita Xinhua China, Agensi Berita Mehr Iran dan Anadolu Ajansi dari Turkiye.

Program padat selama empat hari itu merangkumi Mesyuarat Lembaga Eksekutif (EBM) ke-58 dan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal, majlis Anugerah OANA serta pameran foto sempena ulang tahun bertajuk "Sejarah dan Pembangunan: 65 Tahun Pertukaran Maklumat di Rantau Asia-Pasifik".

Program itu disusuli sesi pleno peringkat tinggi bertemakan "OANA: 65 Tahun Pengalaman. Membina Komuniti Media Mampan: Peranan Pertubuhan dalam Membentuk Masa Depan Ruang Maklumat Rantau Ini".

Ketika menetapkan hala tuju perbincangan pada sesi pleno itu, Ketua Pengarah TASS merangkap Presiden OANA Andrey Kondrashov menegaskan bahawa kerjasama media serantau perlu terus berpaksikan kredibiliti sambil memberi amaran bahawa "apabila maklumat itu palsu, kepercayaan akan musnah".

Dalam satu langkah penting bagi memperkukuh pertahanan terhadap kecelaruan maklumat, OANA memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersejarah dengan Rangkaian Semakan Fakta Global (GFCN) bagi membangunkan seni bina kepercayaan global dan mewujudkan protokol semakan fakta yang seragam.

Bernama turut meluaskan jaringan antarabangsanya apabila Nur-ul Afida menandatangani MoU dengan TASS, yang diwakili Kondrashov, bagi memperluas kerjasama dalam pertukaran berita, kandungan multimedia, penceritaan digital serta penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Teras kepada usaha menangani maklumat palsu itu ialah Forum Antarabangsa “Dialogue about Fakes 4.0” yang menghimpunkan lebih 2,000 wartawan, ketua organisasi media, pemimpin perniagaan dan pakar dari 80 negara bagi memajukan metodologi semakan fakta.

Sesi pleno bertemakan "Kerjasama Antarabangsa dalam Bidang Ketahanan Maklumat: Prinsip Perlindungan Bersama dan Tanggungjawab Bersama", itu dirasmikan Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov.

Para perwakilan memberi amaran mengenai ancaman digital baharu, khususnya AI generatif dan deepfake, yang disifatkan Setiausaha Agung OANA merangkap Timbalan Ketua Pengarah TASS Marat Abulkhatin sebagai "virus era digital" kerana berkembang pesat dan sukar dikesan.

Bernama turut memainkan peranan penting dalam forum itu, berbekalkan sejarah panjang sebagai anggota OANA sejak 1968 serta pernah dua kali memegang jawatan presiden, masing-masing dari 1981 hingga 1985 dan 2004 hingga 2007.

Berucap pada sesi pleno "Dialogue about Fakes 4.0", Nur-ul Afida mencadangkan supaya OANA memperkukuh daya tahan secara kolektif menerusi Rangkaian Pengesahan Pantas bagi pengesahan dakwaan rentas sempadan dengan segera, Program Daya Tahan Maklumat dan Latihan AI bagi meningkatkan kemahiran bilik berita, serta Kerangka AI Bertanggungjawab dan Kandungan Disahkan bagi menetapkan panduan editorial yang jelas.

Sebagai sebahagian daripada usaha barisan hadapan menangani berita palsu, Nur-ul Afida berkata Bernama mengendalikan platform semakan faktanya sendiri, MyCheck Malaysia, yang secara aktif melengkapi portal Sebenarnya.my kendalian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Pada masa sama, beliau berkata Malaysia turut dilengkapi instrumen perundangan yang kukuh yang membolehkan tindakan diambil terhadap bentuk komunikasi berbahaya atau palsu tertentu yang mengancam ketenteraman awam dan mencetuskan kegusaran, khususnya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

Senada dengan pendirian proaktif itu ketika sesi panel bertajuk "GFCN dan OANA: Mengguna Pakai Pendekatan Bersama Menangani Maklumat Palsu", Arul Rajoo menegaskan bahawa tiada satu organisasi media mampu memantau keseluruhan ekosistem digital yang luas secara bersendirian.

Beliau berkata percambahan tanpa kawalan penulis blog, pempengaruh digital dan pengulas awam menimbulkan cabaran yang jauh lebih besar berbanding persaingan media konvensional kerana dakwaan yang tidak disahkan serta khabar angin bersifat spekulatif lazimnya disalurkan terus kepada khalayak tanpa tapisan editorial.

Mengambil peluang daripada platform peringkat tinggi itu, Nur-ul Afida dan Arul Rajoo turut mengadakan perbincangan dua hala dengan Ketua Pengarah Agensi Berita Vietnam (VNA) Vu Viet Trang, yang bakal menjadi tuan rumah EBM ke-59, dan bersetuju meningkatkan hubungan yang terjalin sejak sekian lama dengan memperluas pertukaran berita, kapsul pelancongan khusus dan kandungan media sosial yang menarik bagi menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 serta sidang kemuncak serantau akan datang.

Selain perbincangan rasmi, para perwakilan turut berpeluang mendalami budaya ibu negara Rusia menerusi lawatan ke mercu tanda ikonik termasuk Dataran Merah dan Galeri Tretyakov Negara, selain menghadiri majlis makan malam di atas kapal menyusuri Sungai Moskva sambil menikmati panorama bandar raya yang diterangi cahaya pada waktu malam.

Para perwakilan turut diraikan pada majlis resepsi sebelah malam di Tsaritsyno Museum-Reserve yang bersejarah di selatan Moscow, sebuah karya seni bina indah abad ke-18 yang pada asalnya dibina atas perintah Maharani Catherine II sebagai kediaman diraja di pinggir bandar dan meninggalkan kesan mendalam kepada pengunjung.

Secara keseluruhannya, ulang tahun OANA ke-65 membawa mesej jelas bahawa meskipun teknologi akan terus membentuk semula landskap media global, inovasi semata-mata tidak mampu melindungi kebenaran tanpa budaya editorial yang berpaksikan pengesahan yang teliti dan kebertanggungjawaban tanpa kompromi.

Mendepani masa depan memerlukan sinergi rentas sempadan yang lebih erat dalam kalangan pihak berkepentingan industri bagi memastikan kewartawanan profesional terus menjadi wadah penting dalam menyampaikan kebenaran pada setiap zaman.

-- BERNAMA