KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Cemburu dipercayai menjadi motif seorang lelaki warga asing menceroboh masuk ke sebuah rumah dan menikam dua beradik di Taman Sri Bintang, Kepong, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Anuar Bakri Abdul Salam berkata siasatan awal mendapati suspek yang berumur awal 20-an bertindak sedemikian akibat cemburu dengan seorang daripada mangsa yang dipercayai berhubung semula dengan bekas teman lelaki.
Beliau berkata Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menerima panggilan menerusi MERS999 daripada orang awam pada 5.04 pagi memaklumkan seorang lelaki telah menceroboh masuk ke sebuah kediaman.
“Polis yang tiba di lokasi mendapati terdapat kesan bakar pada bahagian luar rumah selain menemukan dua beradik perempuan warga tempatan berusia 21 dan 18 tahun dalam keadaan cedera dan bersembunyi di dalam tandas di tingkat bawah rumah.
“Polis kemudian naik ke tingkat atas dan mendapati suspek, yang juga pelajar sebuah universiti swasta, berada di dalam bilik sambil memegang sebilah pisau sebelum menangkapnya serta merampas pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Anuar Bakri berkata kedua-dua mangsa dan suspek yang turut mengalami kecederaan akibat tikaman dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan serta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul menerusi talian 03-4048 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
-- BERNAMA