Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 29 Sept (Bernama) -- Lima rakyat Malaysia ditahan di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup kira-kira lima kilogram “etomidate” yang disembunyikan di dalam tapak kasut mereka ketika menaiki penerbangan dari Malaysia.
Ketua Unit III Direktorat Jenayah Narkotik Polis Nasional Indonesia Ivan Adhitira berkata pihak berkuasa mengesyaki kumpulan yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 21 hingga 49 tahun sebaik mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada Jumaat, sebelum menjalankan pemeriksaan menyeluruh.
“Pemeriksaan mendapati bahan yang disyaki etomidate dalam bentuk serbuk dengan berat kasar lima kilogram disembunyikan di dalam tapak kasut kelima-lima penumpang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, sambil menjelaskan bahawa ujian makmal kemudiannya mengesahkan serbuk itu mengandungi “etomidate”.
Ivan berkata hasil soal siasat lanjut mendapati kelima-lima suspek diarahkan oleh seorang wanita di Malaysia yang dikenali sebagai “Madam” melalui kumpulan Telegram untuk membawa bahan itu dari Kuala Lumpur dengan bayaran RM9,000.
Beliau berkata penyiasat kemudian memantau urusan penyerahan yang dirancang itu, sebelum membawa kepada penahanan seorang lelaki warga China ketika menerima sebuah beg pakaian yang mengandungi “etomidate” daripada dua rakyat Malaysia berkenaan di sebuah hotel di Jakarta.
Beliau berkata kunci sebuah pangsapuri yang ditemukan dalam milikan lelaki warga China itu membawa polis ke sebuah pangsapuri di Jakarta Utara, tempat penyiasat merampas bahan-bahan yang dipercayai berkaitan dengan penghasilan pod vap yang mengandungi “etomidate”.
Ivan berkata polis menganggarkan bahan yang dirampas itu boleh digunakan untuk menghasilkan kira-kira 42,500 pod vap bernilai Rp127.5 bilion (kira-kira RM33.5 juta).
Beliau berkata kelima-lima rakyat Malaysia dan lelaki warga China itu masih dalam tahanan untuk siasatan lanjut, dengan kesemua suspek berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau penjara seumur hidup mengikut undang-undang narkotik Indonesia dan undang-undang jenayah berkaitan.
-- BERNAMA