Daripada Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 29 Sept (Bernama) -- Tambang pengangkutan awam di Singapura akan meningkat tujuh peratus secara keseluruhan mulai 26 Dis 2026 susulan kenaikan harga tenaga akibat konflik Asia Barat, menurut Majlis Pengangkutan Awam (PTC).
Dalam laporan Kajian Semakan Tambang (FRE) 2026 yang dikeluarkan pada Selasa, PTC memaklumkan kenaikan itu kurang daripada separuh kuantum pelarasan tambang maksimum yang dibenarkan, mengimbangi keperluan untuk memastikan sistem pengangkutan awam mampan dari segi kewangan dengan kebimbangan kos sara hidup.
Menurut FRE 2026, penumpang dewasa yang menggunakan kad akan membayar sehingga 13 sen tambahan setiap perjalanan manakala pelajar, warga emas dan orang kurang upaya akan membayar tambahan lima sen.
Untuk pembayaran tunai, orang dewasa akan membayar tambahan 20 sen manakala yang lain akan membayar tambahan 10 sen.
Pengerusi PTC Janet Ang berkata majlis itu sedar bahawa setiap pelarasan tambang adalah penting kepada penumpang, terutamanya apabila isi rumah menguruskan perbelanjaan harian lebih tinggi.
"Dalam menentukan pelarasan tambang tahun ini, PTC berusaha memastikan kenaikan itu terurus untuk penumpang, sambil mengimbangi keperluan untuk mengekalkan kualiti dan kebolehpercayaan sistem pengangkutan awam kita dalam menghadapi kos yang lebih tinggi.
"Akhirnya, tanggungjawab kami adalah memastikan pengangkutan awam mampu milik untuk penumpang hari ini, sambil memastikan sistem pengangkutan awam kita berkualiti tinggi dan mampan dari segi kewangan untuk tahun-tahun akan datang," katanya pada Selasa.
Sementara itu PTC menyatakan bahawa kerajaan akan terus menyediakan subsidi tambang tambahan berjumlah hampir S$200 juta (S$1=RM3.19) pada 2027.
Ini ialah tambahan lebih S$2 bilion subsidi operasi tahunan untuk pengangkutan awam serta perbelanjaan modal dengan purata S$5 bilion setiap tahun dalam tempoh lima tahun akan datang.
"PTC akan terus memantau kemampuan tambang dengan teliti demi memastikan sistem pengangkutan awam Singapura kekal mampu milik untuk penumpang dan mampan dari segi kewangan bagi jangka panjang," tambahnya.
-- BERNAMA