TOKYO, 29 Sept (Bernama-Kyodo) -- Menteri Pertahanan Jepun Shinjiro Koizumi pada Selasa berkata beliau telah mengarahkan tentera negara itu menamatkan operasi memadam kebakaran di Indonesia, yang merupakan misi seumpamanya yang pertama di luar negara, lapor Kyodo News.
Sebuah kapal pengangkut Pasukan Pertahanan Diri Jepun (SDF) yang membawa tiga helikopter CH-47 dihantar ke Indonesia yang dilanda kebakaran hutan teruk, dengan operasi bantuan bencana dilancarkan pada 16 Sept lepas.
Indonesia telah memaklumkan Jepun bahawa operasi SDF telah membantu mencegah kebakaran hutan daripada merebak dan kerajaan Indonesia mampu mengendalikan sendiri usaha menangani kebakaran itu selepas ini.
Helikopter berkenaan telah melakukan lebih 40 penerbangan bagi operasi pemadaman kebakaran dari udara sehingga Isnin, dengan menggugurkan kira-kira 220 tan air, kata Koizumi pada sidang media.
"Kementerian Pertahanan dan SDF mahu memperkukuh lagi kerjasama pertahanan dengan Indonesia berlandaskan kepercayaan yang telah dipupuk" menerusi operasi itu, katanya.
Kapal pengangkut Kunisaki, kapal kelas Osumi seberat 8,900 tan, meninggalkan pangkalan Pasukan Pertahanan Diri Maritim di Kure, wilayah Hiroshima di barat Jepun pada 30 Ogos dan tiba di Pelabuhan Kijing di Kalimantan Barat pada 10 Sept.
Misi itu dilaksanakan susulan perjanjian yang ditandatangani antara Koizumi dan rakan sejawatannya dari Indonesia Sjafrie Sjamsoeddin pada Mei untuk memperluas kerjasama pertahanan, termasuk dalam latihan bersama dan operasi bantuan bencana.
-- BERNAMA-KYODO