Dunia 29/09/2026 04:40 PM

Pertumbuhan Ekonomi Kemboja Dijangka Perlahan Kepada 3 Peratus Pada 2026 Ekoran Peningkatan Kos: IMF

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pertumbuhan Ekonomi Kemboja Dijangka Perlahan Kepada 3 Peratus Pada 2026 Ekoran Peningkatan Kos: IMF
Central Market, Phnom Penh

PHNOM PENH, 29 Sept (Bernama-Xinhua) -- Pertumbuhan ekonomi Kemboja dijangka perlahan kepada tiga peratus pada 2026 berbanding 5.3 peratus pada 2025, didorong oleh lonjakan kos tenaga, perkhidmatan pelancongan yang melemah dan penurunan kiriman wang, kata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Selasa, lapor Xinhua.

Negara Asia Tenggara itu, yang bergantung kuat kepada eksport pakaian, kasut dan barangan kembara, di samping pertanian, pelancongan serta hartanah, berdepan kombinasi cabaran domestik dan global yang semakin meningkat.

"Pertumbuhan dijangka perlahan kepada tiga peratus pada 2026 sebelum pulih kepada empat peratus pada 2027, mencerminkan kos tenaga yang lebih tinggi, pelancongan dan kiriman wang yang lebih lemah, eksport pakaian yang semakin perlahan, permintaan domestik yang kurang memberangsangkan serta keadaan kewangan yang lebih ketat," kata IMF dalam satu kenyataan media.

"Inflasi dijangka kekal tinggi pada 5.6 peratus pada 2026 sebelum mereda apabila harga tenaga kembali stabil," katanya.

Defisit akaun semasa dijangka meluas secara mendadak, walaupun pelaburan langsung asing yang daya tahan dan rizab antarabangsa yang mencukupi menyediakan penampan penting.

IMF berkata risiko terhadap pertumbuhan lebih cenderung kepada penurunan, termasuk daripada gangguan tenaga dan perdagangan yang berulang, aktiviti penipuan  yang berterusan serta pemulihan pasaran hartanah yang lebih mendadak.

Potensi gangguan daripada fenomena El Nino juga boleh menyebabkan tekanan harga pertanian kekal tinggi, katanya.

--BERNAMA-XINHUA