KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan tahap Kecukupan Pendapatan Persaraan kepada enam daripada setiap 10 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mencapai penanda aras Simpanan Asas sebanyak RM390,000 pada usia 60 tahun menjelang 2030.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pada masa ini, hampir empat daripada 10 ahli KWSP berada di landasan untuk mencapai penanda aras tersebut di bawah Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan KWSP.
“Ini merupakan satu kemajuan tetapi masih terlalu ramai rakyat Malaysia yang berisiko kehabisan simpanan sepanjang tempoh persaraan yang mungkin mencapai selama 20 hingga 25 tahun,” kata beliau dalam ucaptama pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2026 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn.
Perdana Menteri berkata liputan turut menjadi satu cabaran berikutan jutaan rakyat Malaysia bekerja di luar sektor pekerjaan formal konvensional manakala sistem perlindungan sosial negara sebahagian besarnya dirangka berasaskan sektor tersebut.
Anwar menegaskan bahawa sistem negara perlu berkembang seiring dengan perubahan sifat pekerjaan.
“Terdapat satu lagi realiti yang perlu kita hadapi. Bagi penggubal dasar, persaraan mungkin merupakan perancangan untuk tempoh 30 tahun. Bagi isi rumah yang menguruskan perbelanjaan makanan, sewa rumah dan persekolahan, tempoh perancangan mungkin hanya sehingga hujung minggu.
“Meminta orang ramai membuat persediaan untuk tahun 2048 apabila mereka tidak pasti mengenai keadaan pada bulan depan bukan sekadar persoalan mengenai celik kewangan. Ia juga merupakan soal kemampuan kewangan,” kata Anwar.
Beliau berkata jaminan persaraan bermula dengan pendapatan, pekerjaan yang baik dan keupayaan untuk menabung secara konsisten serta agenda persaraan perlu bergerak seiring dengan agenda gaji.
Anwar berkata kerajaan memperuntukkan RM1.26 bilion untuk kebajikan warga emas, yang memberi manfaat kepada 180,000 rakyat Malaysia yang telah berusia selain memperluas pusat aktiviti bagi memastikan peningkatan usia tidak semestinya bermakna terasing.
Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia memerlukan sistem penjagaan berperingkat — daripada sokongan komuniti, makanan berkhasiat dan bantuan penjagaan di rumah hingga kepada penjagaan harian, penjagaan di rumah serta penjagaan warga emas di pusat penjagaan bagi mereka yang uzur atau menghidap demensia.
Beliau menegaskan bahawa akses kepada penjagaan perlu berdasarkan keperluan, bukan hanya berdasarkan kemampuan untuk membayar.
“Kerajaan perlu menerajui dengan menetapkan piawaian, memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan memastikan perkhidmatan asas disediakan. Namun, kejayaan yang berkekalan memerlukan komitmen bersama,” kata beliau.
Sementara itu, Pengerusi KWSP Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata persediaan untuk masa depan memerlukan usaha bersama merentasi kerajaan, perniagaan, komuniti, keluarga dan individu dan setiap satunya memainkan peranan dalam mewujudkan keadaan yang membolehkan rakyat menjalani kehidupan yang baik pada setiap peringkat usia.
“Ini bermula dengan mengiktiraf pengalaman, pengetahuan dan sumbangan yang dibawa oleh setiap individu sepanjang hayat mereka, di samping sokongan yang mungkin mereka perlukan apabila semakin berusia.
“Institusi dan sistem kita perlu berkembang bagi membolehkan rakyat bekerja, belajar, menyumbang dan terus berhubung merentasi generasi,” katanya.
Mohd Zuki berkata pengenalan i-Legasi mencerminkan kepentingan sokongan antara generasi, membolehkan ahli yang layak dengan simpanan persaraan yang mencukupi untuk memindahkan sebahagian ke akaun KWSP ahli keluarga terdekat, sekali gus membantu memperkukuh jaminan persaraan merentasi generasi.
Beliau berkata Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan melengkapi usaha ini dengan menetapkan penanda aras yang jelas bagi Simpanan Asas, Simpanan Mencukupi dan Simpanan Dipertingkat, memberikan ahli gambaran yang jelas mengenai antara jumlah yang mereka simpan hari ini dan pendapatan bulanan yang boleh disokong oleh simpanan tersebut.
Bertemakan ‘The Long Horizon’, edisi ke-13 ISWC 2026 dianjurkan bersama KWSP dan Kementerian Kewangan. Forum yang berlangsung selama dua hari itu akan berakhir esok.
-- BERNAMA