ISTANBUL, 29 Sept (Bernama-Anadolu) -- Pengantara Qatar akan mengemukakan kepada Amerika Syarikat (AS) beberapa cadangan baharu yang dibincangkan dengan Tehran mengenai cara memenuhi syarat Iran bagi membuka semula Selat Hormuz, kata Menteri Luar Iran Abbas Araghchi lewat Isnin.
Beliau berkata maklum balas muktamad daripada Washington mungkin diterima pada Selasa.
Bercakap kepada wartawan Iran di New York, Araghchi berkata beliau sekali lagi bertemu pengantara Qatar dan membincangkan beberapa pendekatan yang boleh memudahkan pelaksanaan syarat ditetapkan Tehran, lapor Anadolu Ajansi.
“Mereka mempunyai beberapa cadangan dan kami membincangkan bagaimana jalan boleh dicari untuk memenuhi syarat Iran serta bagaimana syarat itu boleh dilaksanakan,” kata beliau menurut agensi berita rasmi IRNA.
Cadangan berkenaan kini akan dikemukakan kepada pihak AS sebelum maklum balas muktamad Washington disampaikan kepada Tehran, kata Araghchi.
“Saya berharap perkara ini akan berlaku esok,” katanya.
Araghchi berkata beliau akan meninggalkan New York menuju Tehran dalam tempoh beberapa jam dan pengantara Qatar akan menyampaikan maklum balas AS sebaik sahaja diterima.
Beliau berkata saluran komunikasi menerusi pengantara Qatar dan Pakistan kekal terbuka, namun perbincangan menjadi lebih serius susulan cadangan terbaharu Iran.
Araghchi berkata Tehran turut menggunakan pertemuan di New York untuk menyampaikan kepada Washington dan masyarakat antarabangsa syarat yang menurut Iran perlu dipenuhi bagi membolehkan Selat Hormuz dibuka semula.
-- BERNAMA-ANADOLU