ROMPIN, 28 Sept (Bernama) -- Usahawan yang beroperasi di Pulau Tioman berharap Belanjawan 2027 dapat memperkukuh ekonomi dan industri pelancongan di pulau berkenaan menerusi penambahbaikan akses pengangkutan dan infrastruktur asas bagi menyokong pertumbuhan industri setempat.
Bagi mereka, usaha menarik lebih ramai pelancong perlu disokong dengan kemudahan dan sistem pengurusan yang mampu menampung peningkatan aktiviti pelancongan selain mengambil kira kelestarian alam sekitar pulau berkenaan.
Menurut Pengusaha Tioman Santai Resort Ab Razif Ali Awang, masalah utama yang perlu diberi perhatian ialah aspek pengangkutan yang menjadi antara faktor penting dalam menentukan kemasukan pelancong ke pulau berkenaan.
“Masalah utama di sini ialah pengangkutan untuk pelancong ke Pulau Tioman agak sukar berikutan perkhidmatan feri yang terhad,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Tunamaya Beach & Spa Resort Sdn Bhd, Peter Lo Chine Pan turut berhadapan masalah yang sama apabila kapasiti perkhidmatan feri yang tidak mencukupi menyebabkan tempahan penginapan terpaksa dibatalkan.
Hal ini kerana pelancong tidak dapat membeli tiket feri untuk perjalanan pergi dan balik ke Pulau Tioman, katanya.
“Kita berharap selepas ini Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) bersama operator feri dapat mencari titik penyelesaian sama ada meningkatkan kekerapan perkhidmatan feri atau membawa masuk pemain baharu di pulau ini,” kata beliau.
Selain itu katanya, pengurusan sisa yang lebih berkesan perlu diberi perhatian untuk memastikan peningkatan jumlah pelancong tidak memberi tekanan kepada alam sekitar dan kemudahan sedia ada di pulau berkenaan.
Bagi Pengurus Program Reef Cheek Malaysia, Alvin Chelliah, beliau berharap agar peruntukan disalurkan untuk menjalankan penyelidikan berkaitan kesan perubahan iklim terhadap Pulau Tioman termasuklah hakisan pantai bagi memastikan pembangunan sektor pelancongan dapat dirancang secara mampan dan menyokong operasi dalam jangka panjang.
Beliau berkata antara isu yang dihadapi adalah pengurusan air kumbahan, sisa pepejal dan kesan perubahan iklim yang semakin ketara.
“Penyelidikan itu boleh menentukan bagaimanakah kita dapat melindungi perniagaan yang berada di pulau ini dan pada masa sama memastikan pulau ini terus berdaya maju untuk industri pelancongan dalam jangka panjang,” tambah beliau.
Mereka merupakan sebilangan usahawan khususnya di sektor penginapan yang turut terlibat dalam Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 bersama Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Ahad.
Menteri berkenaan telah mengadakan lawatan kerja di Tioman dari 26 hingga 27 Sept, 2026 sempena dengan Siri Jelajah Belanjawan di Kampung Angkat MADANI Kementerian Kewangan di Pulau Tioman.
-- BERNAMA