Am 29/09/2026 11:34 AM

Dewan Negara Ucap Takziah Pemergian Tun Dr Siti Hasmah, Kehilangan Besar Buat Negara

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Dewan Negara Ucap Takziah Pemergian Tun Dr Siti Hasmah, Kehilangan Besar Buat Negara
Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Dewan Negara hari ini merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang meninggal dunia semalam.

Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah berkata pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat negara, selain menyifatkan beliau sebagai tokoh negarawan dan antara doktor wanita Melayu terawal yang amat dihormati.

“Jasa beliau dalam bidang kesihatan awam dan kebajikan masyarakat akan terus dikenang,” katanya ketika sesi pemasyhuran ucapan takziah oleh Yang Dipertua Dewan Negara di Dewan Negara di sini hari ini.

Sesi itu diadakan selepas upacara mengangkat sumpah jawatan Senator baharu oleh Pengerusi PKR Negeri Perak Mohamad Hairul Amir Sabri di hadapan Awang Bemee.

Awang Bemee turut mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Dr Siti Hasmah dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang yang beriman.

“Semoga keluarga Allahyarham juga dikurniakan ketabahan serta kekuatan menghadapi kehilangan ini,” katanya.

Sesi pemasyhuran itu kemudiannya diakhiri dengan bacaan surah al-Fatihah dan bertafakur selama  seminit sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Dr Siti Hasmah, isteri kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), semalam pada usia 100 tahun.

-- BERNAMA