PUTRAJAYA, 29 Sept (Bernama) -- Budaya syura dan adab perlu diperkukuh dalam keluarga, institusi pendidikan, organisasi, masjid, pentadbiran serta seluruh masyarakat bagi memastikan perbezaan pandangan dapat diurus dengan ilmu, kesabaran dan rasa hormat, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) itu bertitah syura membuka ruang untuk pelbagai pandangan disuarakan, manakala adab memastikan perbezaan tersebut diurus dengan penuh hormat, tertib, sopan dan bijaksana.
"Syura ialah proses berbincang dan bertukar pandangan sebelum membuat keputusan. Dalam Islam, syura menekankan sikap mendengar dengan adab, mempertimbangkan pendapat orang lain, dan mencari keputusan yang membawa kebaikan bersama.
"Adab merupakan asas penting dalam pembentukan peribadi seorang Muslim. Adab ialah kesedaran tentang kedudukan diri, penghormatan terhadap hak orang lain, serta kebijaksanaan dalam mengawal tutur kata dan tindakan," titah baginda pada Mesyuarat MKI kali ke-75 di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Sultan Nazrin bertitah bahawa dalam bermusyawarah, umat Islam hendaklah mencerminkan adab, berkata benar berasaskan ilmu dan fakta, bertutur dengan tertib lagi bersopan, menghormati pandangan yang berbeza, serta menghargai dengan memberikan ruang kepada mereka yang berpengalaman dan berpengetahuan.
"Semangat syura memerlukan kita berlapang dada menerima keputusan bersama setelah setiap pandangan dinilai dengan adil, dipertimbangkan dengan saksama," titah baginda.
Baginda bertitah bahawa syura hendaklah diuruskan dengan tertib dan sopan, serta tidak dijadikan medan untuk merebut pengaruh.
Justeru, Sultan Nazrin bertitah syura hendaklah bebas daripada elemen-elemen fitnah, prasangka serta muslihat terselindung kepentingan peribadi.
"Musyawarah seharusnya menjadi wadah untuk mencari kebenaran dan kemaslahatan, bukannya medan untuk memenangkan ego atau melebihkan kelompok," titah baginda.
Kekuatan sebenar keluarga, masyarakat dan ummah bukan lahir daripada keseragaman pandangan, sebaliknya daripada kemampuan untuk berbeza tanpa bermusuhan, menegur tanpa menghina dan membuat keputusan bersama secara penuh amanah.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah bahawa bangsa Melayu dan umat Islam kini berdepan krisis adab apabila perbincangan dan perdebatan semakin berbentuk pertelagahan tanpa adab.
Keadaan itu dapat dilihat apabila berita yang belum disahihkan disebarkan tanpa menghiraukan dosa, aib dibuka dan perbezaan pandangan bertukar menjadi permusuhan.
"Krisis adab tidak boleh dipandang sebagai perkara kecil kerana keruntuhan sesebuah masyarakat sering bermula dengan keruntuhan nilai dan akhlaknya," titah baginda.
Sehubungan dengan itu, baginda menyeru bangsa Melayu dan umat Islam membudayakan sikap mendengar sebelum menjawab, memahami sebelum menghukum dan meneliti sebelum menyebarkan sesuatu.
Bangsa dan ummah perlu dididik bahawa keberanian bukan sekadar keberanian untuk bersuara, tetapi turut merangkumi kesediaan untuk mendengar, mengakui kesilapan dan menerima kebenaran, walaupun kebenaran itu datang daripada pihak yang berbeza pandangan dan berlainan kumpulan.
Sultan Nazrin turut mengingatkan bahawa kebebasan bersuara bukan kebebasan untuk menghina, manakala perbezaan pendapat bukan alasan untuk menuduh, merendah-rendahkan atau memfitnah orang lain.
"Semoga MKI ini menjadi contoh sebuah badan yang menghidupkan syura sebagai budaya, dan menjadikan adab sebagai keperibadian; mendengar dengan hati, berbicara dengan hikmah, dan kekal bersaudara meski berbeza pendapat.
"Sesungguhnya syura menyatukan pandangan dan adab menyatukan hati.
"Jika kita mahu ummah dihormati, suburkan ilmu dalam perbincangan. Jika kita mahu masyarakat bersatu, jagalah adab dalam perbezaan dan jika kita mahu kepimpinan diberkati, letakkan kebenaran mengatasi ego dan kepentingan diri," titah baginda.
-- BERNAMA