Dunia 29/09/2026 02:03 PM

Tanzania Tutup Sementara Dua Laluan Pendakian Kilimanjaro Susulan Kebakaran Hutan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tanzania Tutup Sementara Dua Laluan Pendakian Kilimanjaro Susulan Kebakaran Hutan
GAMBAR FAIL: 12 Oktober 2020, Tanzania: Kepulan asap kelihatan naik dari kebakaran di Gunung Kilimanjaro, puncak tertinggi di Afrika. Foto: Thomas Becker/dpa.

DAR ES SALAAM, 29 Sept (Bernama-Xinhua) -- Tanzania menutup sementara laluan Lemosho dan Londorosi bagi pendakian Gunung Kilimanjaro, puncak tertinggi di Afrika, susulan kebakaran hutan baharu di taman negara itu, menurut Tanzania National Parks (TANAPA) pada Isnin.

Menurut kenyataan TANAPA, kebakaran itu tercetus di kawasan Sangarini-Kamwanga dan sedang merebak ke arah Shira dalam Taman Negara Kilimanjaro.

Pelancong yang merancang menggunakan kedua-dua laluan berkenaan akan dialihkan ke laluan Machame, Marangu atau Rongai, menurut kenyataan itu.

Sementara itu, usaha memadam kebakaran diteruskan dengan kerjasama Tanzania Fire and Rescue Force, Tanzania Forest Services Agency, Enduimet Wildlife Management Area, pasukan simpanan, penduduk setempat serta pihak berkepentingan dalam sektor pelancongan.

Kebakaran terbaharu itu berlaku beberapa minggu selepas satu lagi kebakaran tercetus pada 3 Sept di kawasan Kikererwa dalam taman berkenaan berhampiran sempadan Tanzania-Kenya.

Kebakaran terdahulu berjaya dikawal lebih 90 peratus setakat 5 Sept.

TANAPA berkata keselamatan kakitangan, pelancong dan petugas lain kekal menjadi keutamaan, sambil memberi jaminan bahawa semua sumber yang ada sedang digerakkan bagi mengawal kebakaran terbaharu itu.

-- BERNAMA-XINHUA