Daripada Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 29 Sept (Bernama) -- Bekas Presiden Indonesia Joko Widodo merakamkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarga atas pemergian isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Jokowi menzahirkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian Dr Siti Hasmah sambil mendoakan agar Dr Mahathir dan seluruh keluarga dikurniakan kekuatan, ketabahan serta kesabaran.
“Kami mengiringi kepergian beliau dengan doa yang terbaik. Semoga Allah menerima segala amal ibadah dan kebaikan Almarhumah,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.20 pagi Isnin pada usia 100 tahun dan meninggalkan Dr Mahathir serta tujuh anak.
Allahyarham diberikan penghormatan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara sebelum disemadikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada 6.20 petang hari sama.
-- BERNAMA