BATU PAHAT, 29 Sept (Bernama) -- Pegawai Bomba Bantuan Kor Siswa (PBBKS) digalakkan menyertai Pegawai Bomba Bantuan (PBB) selepas tamat pengajian, bagi memperkukuh respons awal kecemasan atau kebakaran.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nazili Mahmood berkata peserta PBBKS, mampu menjadi tulang belakang pasukan bomba kerana dilatih dengan pengetahuan asas, kemahiran dan kesedaran berkaitan aspek keselamatan kebakaran serta bantuan kecemasan.
“Kita mengharapkan mereka terus menjadi tulang belakang kepada pasukan, dengan bertindak sebagai individu pertama dalam menghadapi situasi kecemasan atau kebakaran pada peringkat awal, sebelum kehadiran anggota bomba yang bertugas.
“Sebab itu kita didik mereka supaya mempunyai pengetahuan asas, kemahiran dan kesedaran berkaitan aspek keselamatan kebakaran serta bantuan kecemasan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Pentauliahan PBBKS Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) 2026, di sini hari ini.
Beliau berkata sejak diwujudkan pada 2016, sebanyak 2,117 PBB berkhidmat secara separuh masa di balai bomba seluruh negara.
Nazili berkata bagi bekas PBBKS yang bekerja dalam sektor kerajaan atau swasta, boleh menyertai Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) di tempat kerja masing-masing.
Beliau berkata usaha melahirkan masyarakat berpengetahuan dalam aspek keselamatan kebakaran turut dimulakan seawal usia lima tahun menerusi Kelab Bomba Cilik (KBoC), sebelum diteruskan melalui Bomba Junior di sekolah rendah dan Kadet Bomba dan Penyelamat, di sekolah menengah.
Program itu kemudiannya diteruskan melalui Briged Bomba bagi pelajar diploma dan PBBKS yang kini dilaksanakan di 12 universiti awam.
“Pembangunan rangka pembelajaran dan program kokurikulum ini, setara dengan sistem serta piawaian antarabangsa yang dipupuk dan diguna pakai oleh tenaga pengajar Pendidikan Keselamatan Kebakaran di negara maju,” katanya.
Sementara itu Pelatih Terbaik Keseluruhan PBBKS UTHM 2026 Sitty Aishah Mohd Zahari bertekad menyertai pasukan bomba selepas menamatkan pengajian, selain mahu menggalakkan dua adiknya yang masih bersekolah di Perak menyertai badan beruniform.
“Anugerah sebagai pelatih terbaik PBBKS ini juga menjadi pembakar semangat untuk saya terus berjaya dalam apa juga bidang yang diceburi selepas ini,” katanya.
Pada majlis hari ini sebanyak 67 PBBKS UTHM ditauliahkan selepas berjaya menamatkan 120 jam latihan kebombaan.
-- BERNAMA