KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mencadangkan supaya Oktober setiap tahun dijadikan bulan membaca, dengan kempen dilaksanakan secara lebih tersusun dan menyeluruh.
KPN dalam kenyataan memaklumkan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, mengumumkan cadangan itu pada majlis perhimpunan bulanan kementerian berkenaan di Perpustakaan Negara (PNM), hari ini.
Menurut kenyataan itu, kempen bulan membaca itu selari dengan aspirasi Dekad Membaca Kebangsaan 2020-2030, untuk menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang 2030.
Aaron dalam kenyataan sama berkata PNM perlu terus mempergiat Program Galakan Membaca bagi membudayakan amalan membaca dan meningkatkan literasi.
“PNM perlu meneroka pendekatan lebih kreatif seperti di luar negara, antaranya menerusi konsep kafe buku dan kelab membaca, selain kempen membaca bersama-sama pencipta kandungan serta pempengaruh media sosial,” katanya.
Aaron berkata Kajian Awal Indeks Membaca Kebangsaan (IMK) 2026 melibatkan 6,649 responden yang dilaksanakan PNM sehingga 7 Sept lepas menunjukkan 95 peratus daripada mereka ialah pembaca aktif, manakala 47.8 peratus membaca setiap hari.
Selain itu Aaron berkata usaha membawa pulang warisan Malaysia di luar negara membuahkan hasil, apabila misi di Belanda dan Rusia berjaya mendokumentasikan 64 entri manuskrip Melayu dengan nilai perolehan salinan digital berjumlah RM465,000.
“Inisiaitif ini mencerminkan komitmen PNM untuk mengesan, mendokumentasi, menyelidik dan memperoleh semula khazanah manuskrip Melayu yang berada di dalam atau di luar negara,” katanya.
Aaron turut berkongsi beberapa kejayaan transformasi digital PNM, antaranya penggunaan Sistem Perpustakaan Bersepadu (KOHA) di 506 Perpustakaan Desa PNM, migrasi sistem perpustakaan kepada polaris serta pendigitalan khazanah negara.
Sementara itu, KPN memaklumkan tiga projek utama PNM juga sedang dilaksanakan bagi tempoh 2025-2026, iaitu pembangunan Ruang Pembelajaran Interaktif dan Imersif bernilai RM4.7 juta yang dijangka siap Disember ini.
“Selain itu, cadangan pembinaan Perpustakaan Digital di Bagan Datuk, Perak berkeluasan 1,902 meter persegi dengan kos siling RM21.6 juta. Ia akan menjadi kemudahan ilmu dan digital yang menyokong pembangunan Bandar Baru Bagan Datuk sebagai pusat pentadbiran, perumahan serta komersial.
“Seterusnya ialah Projek Pembinaan Pusat Warisan Intelek Negara (MyWIN) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan peruntukan RM62.91 juta, sebagai pusat penyimpanan dan pemeliharaan khazanah intelek negara. Ia dijangka siap pada November 2029 untuk menempatkan kira-kira 2.5 juta naskah koleksi negara,” menurut KPN.
-- BERNAMA