Am 29/09/2026 04:08 PM

Ahmad Zahid, Menteri Kabinet Rafak Sembah Tahniah Bersempena Dengan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kelantan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Ahmad Zahid, Menteri Kabinet Rafak Sembah Tahniah Bersempena Dengan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kelantan
Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan berangkat ke Istiadat Pemeriksaan Barisan Kehormatan sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang ke-57 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu hari ini.

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta beberapa menteri Kabinet hari ini merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-57 Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, menerusi laman Facebook masing-masing.

Ahmad Zahid menerusi hantaran di platform berkenaan mendoakan agar baginda sentiasa berada dalam rahmat dan lindungan Allah SWT serta dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan.

“Patik dengan penuh takzim mendoakan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa berada dalam rahmat dan lindungan Allah SWT, dikurniakan kesihatan, kesejahteraan serta pemerintahan yang terus diberkati demi kemakmuran Negeri Kelantan Darul Naim dan seluruh rakyatnya,” katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil turut merafak sembah dan merakamkan ucapan tahniah kepada Sultan Muhammad V bersempena dengan ulang tahun hari keputeraan baginda.

“Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat dan keberkatan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said pula mendoakan agar baginda dilanjutkan usia serta dikurniakan kesihatan, kesejahteraan dan limpahan rahmat untuk terus memayungi rakyat serta memerintah Kelantan dengan aman, makmur dan sejahtera.

Selain itu, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar turut merafak sembah ucapan tahniah dan mendoakan agar Sultan Muhammad V serta seluruh kerabat diraja sentiasa dikurniakan rahmat, keberkatan, kesihatan dan kesejahteraan berpanjangan.

Turut merafak sembah tahniah ialah Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid serta seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Islam dijunjung, rakyat bersatu, negeri berkat, raja berdaulat. Semoga Allah melindungi Tuanku dunia dan akhirat,” menurut hantaran di Facebook PDRM.

-- BERNAMA