Am 29/09/2026 02:52 PM

Malaysia Perlu Modenkan Undang-undang Perkapalan - Nallini

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Perlu Modenkan Undang-undang Perkapalan - Nallini
Tan Sri Nallini Pathmanathan

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Malaysia perlu memodenkan undang-undang perkapalan bagi memastikan rangka kerja perundangan negara seiring dengan prestasi kukuh dan potensi sektor maritim, kata Tan Sri Nallini Pathmanathan.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan yang mempengerusikan Jawatankuasa Semakan dan Pembaharuan Undang-Undang Maritim Malaysia di bawah Kementerian Pengangkutan itu berkata jawatankuasa berkenaan kini berusaha memodenkan undang-undang perkapalan Malaysia, termasuk mengkaji semula beberapa perundangan utama.

“Kami kini meneliti Akta Admiralti, selain Akta Bil Muatan. Kami juga sedang mengkaji Ordinan Perkapalan Saudagar, selain semua Akta Pelabuhan,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan Minggu Maritim Malaysia 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata pemodenan rangka kerja perundangan itu akan membantu Malaysia bergerak seiring dengan beberapa negara perkapalan terbaik di dunia.

Nallini berkata prestasi operasi Malaysia yang kukuh dapat dilihat menerusi kedudukan yang dicapai Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Johor, masing-masing di tempat ke-10 dan ke-11 dalam ranking Senarai 100 Pelabuhan Kontena Lloyd’s List 2026.

“Kita dapat melihat daripada anugerah hari ini, kedudukan Pelabuhan Klang dan Johor masing-masing di tempat ke-10 dan ke-11 menunjukkan bahawa dari segi operasi, kita menunjukkan prestasi yang amat baik,” katanya.

Menurut Nallini, penambahbaikan rangka kerja perundangan negara yang agak lama akan memudah cara pertumbuhan ekonomi selanjutnya, selain mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan untuk negara.

“Adalah penting untuk undang-undang kita seiring dengan prestasi dan potensi negara,” katanya.

Terdahulu, Nallini menerima Anugerah Kementerian Pengangkutan atas khidmat dan kepakaran beliau dalam bidang undang-undang maritim.

Sementara itu, pengasas Westports Holdings Bhd mendiang Tan Sri Datuk Gnanalingam Gunanath menerima Anugerah Ikon Legasi Maritim, Ketua Pegawai Eksekutif Fleet Management Limited Kapten Dr Rajalingam Subramaniam menerima Anugerah Ikon Kepimpinan Maritim manakala Datuk Zahid Osman menerima Anugerah Inovasi dan Kecemerlangan Maritim pada majlis itu.

Minggu Maritim Malaysia 2026 berlangsung mulai hari ini hingga 2 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), bertujuan memperkukuh peranan Malaysia sebagai negara maritim, selain merealisasikan hasratnya untuk menjadi hab maritim dan logistik berdaya saing di rantau Asia Pasifik.

-- BERNAMA