KUANTAN, 29 Sept (Bernama) -- Malaysia memerlukan 25,000 tenaga kerja dalam bidang teknologi dan pengoperasian rel menjelang 2030, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Tenaga Manusia (JTM) sedang merangka kursus bersesuaian dengan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan angka itu dapat direalisasikan.
“Berdasarkan pandangan dan nasihat daripada pihak industri, setiap perancangan dilaksanakan akan disesuaikan dengan keperluan industri, sekali gus memastikan pelatih dapat ditempatkan dalam bidang yang bersesuaian dengan permintaan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Forum TVET 2026 di rantau Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) di sini hari ini.
Forum bertemakan Empowering TVET for Next Generation Rail Systems and Future Rail Technologies itu menjadi platform strategik menghubungkan pembuat dasar, institusi TVET, industri rel, penyelidik serta rakan antarabangsa dalam memperkukuh pembangunan bakat bagi menyokong transformasi industri rel di rantau ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata sebanyak 3,000 peluang pekerjaan dibuka khusus bagi pengoperasian Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), termasuk dalam bidang pengoperasian, penyelenggaraan infrastruktur dan penyelenggaraan rolling stock.
“Keperluan kita memang mendesak dan usaha ke arah ini perlu dilaksanakan secara berterusan. Agensi-agensi terlibat, khususnya TVET antara sumber untuk kita mendapatkan tenaga mahir bagi bersama-sama menjayakan projek ECRL ini,” katanya.
Beliau berkata keperluan tenaga kerja mahir bukan sahaja melibatkan ECRL, malah peluang turut wujud dalam sektor lain berkaitan industri rel, termasuk di Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Dalam ucapan beliau pada forum berkenaan, Darwis berkata projek ECRL berjalan lancar dengan keseluruhan pembinaan mencapai 95.41 peratus setakat Ogos lepas.
Beliau berkata pembinaan Fasa Satu dari Kota Bharu ke Gombak telah mencapai 97.65 peratus dan disasarkan siap menjelang pertengahan Disember, tertakluk kepada keperluan ujian, pentauliahan dan keselamatan.
“Pada asalnya, kami dijadualkan untuk menyiapkan ECRL pada Januari 2027. Bagaimanapun, kerajaan meminta supaya perkhidmatan kereta api ini dibuka kepada orang awam pada Disember bersempena dengan cuti persekolahan. Kami sedang berusaha untuk mencapai sasaran itu.
“Setakat ini, keputusan ujian dan pentauliahan adalah positif. Kami berharap keseluruhan jajaran Fasa Satu, dari Kota Bharu ke Gombak dapat dibuka kepada orang awam menjelang Disember 2026,” katanya.
Darwis berkata pada 25 Sept lepas, beliau melakukan perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu bersempena dengan ulang tahun MRL ke-10, menandakan kali pertama keseluruhan laluan utama sepanjang 520 kilometer itu dilalui kereta api.
“Perjalanan itu mengambil masa kira-kira tiga jam 19 minit dengan kelajuan hingga 160 kilometer sejam. Ini menunjukkan perjalanan antara Kota Bharu dan Gombak dalam tempoh kurang daripada empat jam boleh dicapai,” katanya.
Beliau berkata kejayaan ujian perjalanan itu adalah hasil usaha bersepadu pelbagai pasukan dan sistem, termasuk pihak bertanggungjawab terhadap pengesahan landasan, sistem isyarat dan bekalan kuasa, pemantauan pergerakan kereta api serta penyelesaian isu-isu teknikal.
-- BERNAMA