Oleh Kenny Teng
BANGKOK, 29 Sept (Bernama) -- Situasi banjir di Bangkok semakin pulih susulan hujan yang semakin reda, manakala operasi menyalirkan air masih diteruskan dan keadaan trafik kembali normal di banyak kawasan, menurut jurucakap kerajaan Thailand.
Jurucakap kerajaan Ekkapob Pianpises berkata beberapa kawasan komuniti dan lorong masih dilanda banjir teruk, menyebabkan pihak berkuasa mempertingkat bantuan kepada penduduk terjejas.
“Taburan hujan di Bangkok berkurangan berbanding sebelum ini, manakala operasi menyalirkan air di banyak kawasan masih diteruskan dan keadaan trafik kembali normal,” katanya pada taklimat media Pusat Penyelarasan Maklumat Bersama (JICC) mengenai situasi banjir pada Selasa.
Ekkapob berkata Perdana Menteri Anutin Charnvirakul mengarahkan agensi berkaitan supaya segera memulakan langkah bantuan dan pemulihan, dengan penilaian kerosakan akan digunakan dalam penyediaan permohonan peruntukan bagi bantuan selanjutnya.
Beliau berkata kerajaan dan agensi berkaitan akan meneruskan usaha menangani situasi itu serta membantu penduduk terjejas kembali menjalani kehidupan seperti biasa secepat mungkin.
Sementara itu, Ekkapob mengingatkan penduduk yang dipindahkan dari kawasan rendah di sepanjang laluan air di daerah Klaeng, wilayah Rayong supaya tidak pulang ke kediaman masing-masing berikutan paras air di Terusan Pra Sae meningkat dengan cepat susulan aliran air yang banyak dari kawasan hulu.
Beliau menggesa penduduk di kawasan rendah dan hilir supaya terus berwaspada serta mengikuti rapat amaran rasmi kerana paras air boleh meningkat lagi dan melimpah secara tiba-tiba.
“Mereka yang telah berpindah tidak boleh kembali ke kawasan rendah di sepanjang laluan air dan perlu kekal berada di lokasi selamat,” katanya.
Sementara itu, Thai Airways membatalkan 14 penerbangan yang dijadualkan pada 29 hingga 30 Sept berikutan kesan banjir di Bangkok dan kawasan sekitarnya.
Syarikat penerbangan itu memaklumkan pembatalan pada 29 Sept melibatkan penerbangan antara Bangkok dan Udon Thani (TG008/TG009), New Delhi, India (TG315/TG316), Singapura (TG407/TG408), Kuala Lumpur (TG415/TG416) serta Frankfurt, Jerman (TG922/TG923).
Pembatalan pada 30 Sept pula melibatkan penerbangan antara Bangkok dan Munich, Jerman (TG924/TG925) serta Brussels, Belgium (TG934/TG935).
Penumpang yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Perhubungan THAI di +66 2 356 1111 yang beroperasi 24 jam sehari atau menerusi e-mel contact@thaiairways.com.
Media Thailand melaporkan Bangkok merupakan antara 41 wilayah yang dilanda banjir sejak 16 Sept, dengan sekurang-kurangnya lapan orang terkorban dan lebih 580,000 isi rumah terjejas, memetik Kementerian Dalam Negeri.
-- BERNAMA