Dunia 29/09/2026 02:00 PM

Iraq Sambung Semula Penerbangan Ke Iran Dari Lapangan Terbang Najaf

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Iraq Sambung Semula Penerbangan Ke Iran Dari Lapangan Terbang Najaf
Anggota pasukan keselamatan Iraq berbaris di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Najaf ketika penunjuk perasaan, yang sebahagiannya mengibarkan bendera Harakat Hezbollah al-Nujaba, membantah penggantungan penerbangan antara Iraq dan Iran di Najaf, Iraq, Isnin, 28 Sept 2026. (AP Photo/Anmar Khalil)

TEHRAN, 29 Sept (Bernama-IRNA) -- Iraq akan menyambung semula penerbangan terus ke Iran dari Lapangan Terbang Antarabangsa Najaf dalam tempoh 24 jam, kata Duta Besar Iraq ke Tehran Yasser al-Hajjaj pada Isnin.

Beliau berkata Baghdad tidak pernah mengarahkan perkhidmatan penerbangan antara dua negara berjiran itu dihentikan, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA) memetik agensi berita rasmi Iraq, INA.

Al-Hajjaj berkata kerajaan Iraq yang dipimpin Perdana Menteri Ali al-Zaidi sedang meneruskan usaha bagi memulihkan sepenuhnya hubungan udara antara Iraq dan Iran.

Menurut beliau, gangguan penerbangan baru-baru ini bukan berpunca daripada keputusan kerajaan Iraq untuk menggantung penerbangan ke Iran.

Sebaliknya, beberapa syarikat asing yang menyediakan perkhidmatan di lapangan terbang Iraq bertindak menghentikan khidmat kepada penerbangan Iran atas tekanan berkaitan sekatan Amerika Syarikat (AS), kata beliau. 

Al-Hajjaj berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Najaf akan kembali menerima penerbangan terus dari Iran.

-- BERNAMA-IRNA