Dunia 29/09/2026 02:02 PM

161 Dipindahkan Dari Wilayah Terjejas konflik Di Ethiopia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
161 Dipindahkan Dari Wilayah Terjejas konflik Di Ethiopia
Orang ramai berjalan di Mekelle, ibu negara wilayah Tigray, Ethiopia, ketika pertempuran dengan kerajaan pusat semakin memuncak, Khamis, 24 Sept 2026. (AP Photo)

ADDIS ABABA, 29 Sept (Bernama-Xinhua) -- Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) pada Isnin memindahkan seramai 161 orang dari wilayah Tigray, Ethiopia yang terjejas akibat konflik susulan ketegangan yang semakin memuncak di utara negara itu, lapor Xinhua.

"Pada Isnin, kami memindahkan seramai 161 orang keluar dari Tigray yang terjejas akibat konflik dengan bertindak sebagai perantara yang neutral dan bebas, berdasarkan permintaan serta kelulusan semua pihak berkuasa berkaitan," menurut ICRC dalam satu kenyataan.

Menurut ICRC, mereka yang dipindahkan termasuk anggota Polis Persekutuan Ethiopia dan ahli keluarga, kakitangan Ethiopian Airlines serta ahli keluarga, anggota keselamatan penerbangan awam, pemantau Kesatuan Afrika dan anggota Persatuan Palang Merah Ethiopia.

Mereka yang dipindahkan itu dibawa dari Mekelle, ibu negeri wilayah Tigray, ke Semera di wilayah Afar dengan bas yang memaparkan lambang Palang Merah dan diiringi kakitangan ICRC.

Ketegangan di utara Ethiopia semakin memuncak susulan pengumuman baru-baru ini mengenai pembentukan gabungan baharu oleh tujuh kumpulan pembangkang dan bersenjata Ethiopia, menurut media tempatan.

Angkatan Pertahanan Nasional Ethiopia pada Khamis memaklumkan bahawa 272 anggota Barisan Pembebasan Rakyat Tigray maut susulan serangan kumpulan itu yang gagal pada Selasa malam.

Tentera Ethiopia dalam satu kenyataan memaklumkan pasukannya "menangkis dengan kuat" serangan itu di bahagian timur laut negara berkenaan, sebelum menumpaskan beberapa kumpulan pemberontak serta merampas pelbagai jenis senjata dan peluru.

-- BERNAMA-XINHUA