Am 29/09/2026 12:56 PM

Jualan MIHAS 2026 Melonjak 12 Peratus Kepada RM6.78 Bilion - MATRADE

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jualan MIHAS 2026 Melonjak 12 Peratus Kepada RM6.78 Bilion - MATRADE
Kredit : Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- MIHAS 2026 mencatat prestasi kukuh sepanjang empat hari penganjurannya dari 23 hingga 26 September 2026, dengan merekodkan jumlah jualan sebanyak RM6.78 bilion, peningkatan RM730 juta atau 12.0 peratus berbanding RM6.05 bilion pada 2025.  

Menurut kenyataan dikeluarkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), pencapaian itu turut melebihi sasaran jualan RM5.0 bilion sebanyak RM1.78 bilion atau 35.5 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Abu Bakar Yusof berkata: “MIHAS 2026 membuktikan bahawa platform ini bukan sahaja berkembang dari segi nilai jualan, malah turut mewujudkan peluang yang lebih besar bagi perniagaan Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau berkata agensi tersebut kekal komited untuk memperkasakan PKS dan syarikat peringkat pertengahan (MTC) bagi mengembangkan operasi ke pasaran global, terutamanya pasaran baharu muncul dan pasaran bukan tradisional.

“Nilai jualan sebanyak RM6.78 bilion yang dicapai di MIHAS 2026 mencerminkan peluang yang amat berharga.

“Menerusi integrasi Kecerdasan Buatan (AI) berautonomi (Agentic AI), MIHAS sedang berkembang menjadi ekosistem pemudah cara perdagangan lebih saling berhubung dan dipacu oleh teknologi digital; ini membantu syarikat Malaysia mengenal pasti bakal pembeli, membina hubungan perniagaan yang bermakna serta meneroka peluang eksport baharu di luar ruang pameran,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan susulan berakhirnya MIHAS 2026 pada Sabtu lalu.

Abu Bakar berkata di bawah Platform Perdagangan Digital MADANI (MDTP), pengeksport Malaysia akan mendapat akses berterusan kepada pembeli global, sekali gus membantu mereka memperoleh peluang eksport yang mampan.

Menurut MATRADE, MIHAS 2026 menarik sebanyak 69,104 pengunjung dari 93 negara, berbanding 50,340 pengunjung pada 2025, peningkatan 37.3 peratus, angka tertinggi sejak acara itu diperkenalkan pada 2004.

Acara berkenaan turut menghimpunkan pempamer dan pembeli Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) dari 58 negara, sekali gus memperkukuh jangkauan antarabangsa serta daya tarikan MIHAS sebagai platform perdagangan halal global.

“INSP menjana RM4.02 bilion, berbanding RM3.63 bilion pada tahun 2025, peningkatan sebanyak RM394.5 juta atau 10.9 peratus,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, kenyataan itu menyatakan bahawa pameran MIHAS merekodkan kira-kira RM1.99 bilion berbanding RM1.89 bilion pada 2025, kenaikan sebanyak RM103.9 juta atau 5.5 peratus, antara produk utama menyumbang kepada jualan pameran ialah makanan diproses, teknologi makanan dan pembungkusan, makanan sejuk beku serta baja dan agrokimia, mencerminkan kepelbagaian produk halal diketengahkan di MIHAS.

Pada masa sama, PKS Malaysia menjana RM620 juta dalam jualan, berbanding RM557 juta pada 2025

Penyertaan PKS meningkat daripada 64 syarikat pada 2021 kepada 339 syarikat pada 2026, lonjakan 429.7 peratus.

Lebih 22,000 pertemuan perniagaan yang dibantu AI telah dijana sepanjang MIHAS 2026, menunjukkan bagaimana teknologi AI dapat mengubah cara perniagaan berhubung dan meneroka peluang perdagangan baharu.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 324 padanan menghasilkan RM28 juta nilai jualan melalui padanan dibantu AI. Lebih penting, platform AI ini akan terus beroperasi sehingga 2027, membolehkan syarikat yang terlibat meneruskan hubungan, berinteraksi dengan bakal pembeli dan meneroka peluang perdagangan baharu selepas berakhirnya pameran selama empat hari,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA