IPOH, 29 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari rumahnya di Kampung Batu 8, Jalan Tanjung Tualang, Batu Gajah, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata Muhammad Nurfirdaus Hariz Hamdan, 26, mengalami masalah OKU lembam dan menghidap penyakit asma.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada 2.38 petang daripada polis berhubung kehilangan lelaki berkenaan, yang dipercayai masuk ke kawasan ladang kelapa sawit di belakang rumahnya.
“Abang mangsa telah membuat laporan setelah menyedari adiknya tiada di rumah dan pintu belakang telah terbuka.
“Pencarian mangsa sejauh 700 meter dari rumahnya ke kawasan ladang kelapa sawit dilakukan oleh anggota bomba dan polis, termasuk unit K9 yang dibahagikan kepada enam kumpulan, namun mangsa masih belum ditemukan,” katanya dalam kenyataan.
Operasi itu melibatkan tujuh anggota BBP Batu Gajah bersama tujuh anggota polis, termasuk dua anggota unit K9 serta kira-kira 30 orang kampung, dan pencarian ditangguhkan pada 6 petang semalam atas faktor keselamatan.
Beliau berkata operasi disambung semula 8 pagi ini di tiga kawasan pencarian, iaitu paya, lombong dan tali air, selain melibatkan tambahan anggota dari balai berhampiran dan pasukan K9 bomba.
-- BERNAMA