Am 29/09/2026 12:31 PM

Lebuh Raya Masa Depan: Memacu Mobiliti, Keselamatan dan Kesejahteraan Rakyat

Oleh Nurqalby Mohd Reda Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lebuh Raya Masa Depan: Memacu Mobiliti, Keselamatan dan Kesejahteraan Rakyat

Sejarah lebuh raya di negara ini bermula pada Mac 1964, sementara bayaran tol pula diperkenalkan pada Mac 1966 menerusi Lebuh raya Tanjung Malim-Slim River, yang menurut data Kementerian Kerja Raya, merupakan lebuh raya pertama di Malaysia dan juga Asia.

Jajaran sepanjang 24 kilometer ini mengenakan tol 50 sen ke atas kereta sebelum bayaran itu dimansuhkan pada 1994 susulan siapnya Lebuhraya Utara-Selatan. 

Pun begitu, sejarah lebuh raya dengan capaian terkawal di negara ini bermula dengan Lebuhraya Persekutuan yang dibina pada 1974 dan siap sepenuhnya pada 1977. Selepas itu, sektor pembinaan lebuh raya di negara ini terus berkembang, khususnya selepas Lebuhraya Utara-Selatan siap dan beroperasi, selain pengoperasian lebuh raya juga dipindahkan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada syarikat swasta menerusi Dasar Penswastaan, bermula era 1980-an. 

(Capaian terkawal merujuk aliran keluar masuk kenderaan dikawal, atau dalam bahasa mudah kenderaan hanya dapat masuk dan keluar lebuh raya menerusi laluan yang dikhususkan, bagi memastikan keselamatan dan kelancaran aliran trafik.)

Kini, jutaan kenderaan menggunakan rangkaian lebuh raya moden  yang menghubungkan kampung, bandar, kawasan perindustrian serta pelbagai destinasi di seluruh negara, saban hari. 

Dan mengambil kira kepentingan infrastruktur itu bagi ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat seiring dengan pertambahan kenderaan dan keperluan mobiliti, Kerajaan MADANI pada masa ini menumpukan usaha pada pemantapan keterhubungan termasuk meningkatkan kecekapan sistem penyuraian trafik serta perkhidmatan lebuh raya melalui penggunaan teknologi moden.

 

LEBUH RAYA SEBAGAI PENGHUBUNG

Menyoroti pertumbuhan sektor lebuh raya di negara ini, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata Malaysia ketika ini mempunyai rangkaian lebuh raya sepanjang 2,151 kilometer yang merentasi 34 laluan dan dikendalikan oleh 28 syarikat konsesi.

Maju Johor
Malaysia mempunyai rangkaian lebuh raya sepanjang 2,151 kilometer dan dikendalikan oleh 28 syarikat konsesi.

Menurut beliau, pada masa ini jaringan lebuh raya di Semenanjung merekodkan enam juta kenderaan sehari, sementara di Sabah dan Sarawak pula digunakan oleh kira-kira 200,000 buah kenderaan.

“(Di Semenanjung) Mereka menggunakan lebuh raya  sama ada untuk pergi bekerja, berniaga, menghantar anak ke sekolah atau pulang ke kampung.

“Oleh itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)  komited untuk sentiasa memberi penekanan kepada aspek keselamatan, keselesaan serta penyelenggaraan rangkaian lebuh raya supaya manfaatnya terus dinikmati rakyat,” katanya dalam satu sesi audio siar baru-baru ini.

Katanya lebuh raya dalam bandar berperanan penting bagi menangani isu kesesakan di metropolitan selain memendekkan tempoh perjalanan harian pengguna.

Lebuh raya antara bandar pula menjadi penghubung utama antara negeri dalam memastikan kelancaran pengangkutan barangan dan logistik, merancakkan aktiviti sosial serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata di Sarawak pula, projek Lebuhraya Pan Borneo yang telah siap sepenuhnya dan dibuka kepada pengguna, menjadi penghubung utama antara bandar serta daerah di negeri itu. 

“Manakala projek Lebuhraya  Pan Borneo Sabah masih dalam pembinaan dengan lima daripada keseluruhan 35 pakej kerja telah siap. Projek berkenaan disasarkan untuk disiapkan sepenuhnya menjelang 2030,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, pengguna kedua-dua lebuh raya itu tidak dikenakan bayaran tol.

 Sebelum ini, dilaporkan, kerajaan memutuskan untuk tidak mengenakan tol kepada pengguna Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak atas beberapa faktor, antaranya disebabkan oleh ketiadaan laluan alternatif sepertimana di Semenanjung.

Selain itu, projek itu juga disifatkan sebagai tanggungjawab sosial korporat kerajaan kepada rakyat dan laluan tersebut dikategorikan sebagai jalan persekutuan.

 

TANGANI KESESAKAN AKIBAT KEMALANGAN

Menjawab isu kemalangan yang menjadi antara punca utama kesesakan di lebuh raya, Ahmad berkata kemalangan sukar dielakkan sepenuhnya, namun impak kejadian boleh diminimumkan melalui langkah pencegahan dan peningkatan keselamatan jalan raya.

Maju Johor
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan

Beliau berkata antara langkah yang dilaksanakan KKR adalah dengan memastikan penyelenggaraan infrastruktur dilaksanakan secara berterusan supaya jalan raya sentiasa berada dalam keadaan baik.

Usaha itu turut disokong dengan program pendidikan dan kempen keselamatan jalan raya yang disampaikan melalui pelbagai saluran, termasuk hebahan media, papan tanda elektronik (VMS) dan media sosial, selain tindakan pantas agensi berkaitan dalam mengendalikan kes-kes kemalangan. 

“Berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pada 2011, tiga faktor utama yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya ialah kecuaian manusia iaitu 80.6 peratus, keadaan jalan raya (13.2 peratus), manakala faktor kenderaan menyumbang 6.2 peratus

“… dan bagi pengurusan insiden di lapangan, setiap lebuh raya juga diwajibkan mempunyai Pelan Tindakan Kecemasan (PTK) yang dikeluarkan oleh LLM sebagai rujukan piawaian kepada syarikat konsesi,” jelasnya.

Ahmad berkata LLM serta syarikat konsesi turut mempunyai pasukan rondaan yang sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi membantu mengalihkan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan agar aliran trafik dapat kembali lancar secepat mungkin.

“Bagi kemalangan yang melibatkan kenderaan terbalik atau merentangi jalan sehingga menghalang keseluruhan laluan lebuh raya, laluan kontra di arah bertentangan akan dibuka bagi membolehkan trafik dilencongkan sementara kerja-kerja pengalihan kenderaan dijalankan,” jelasnya.

Selain itu, prosedur “mandatory exit” turut dilaksanakan dengan mengarahkan kenderaan keluar ke jalan persekutuan atau jalan negeri melalui persimpangan berhampiran sekiranya proses pengalihan kenderaan mengambil masa yang panjang dan laluan kontra tidak dapat diaktifkan.

Maju Johor
Kerajaan menambah baik infrastruktur lebuh raya berdasarkan keperluan semasa.

“Pengurusan trafik hari ini juga tidak lagi bergantung pada rondaan fizikal semata-mata, sebaliknya turut disokong oleh penggunaan teknologi. Pemantauan trafik dilaksanakan secara berterusan 24 jam sehari oleh Pusat Pengurusan Trafik (TMC) LLM melalui integrasi 873 kamera litar tertutup (CCTV) dan 278 paparan amaran Variable Message Sign (VMS).

“Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan trafik menerusi akaun rasmi LLM di platform X, TikTok dan Facebook, selain aplikasi digital seperti TuJu untuk menyemak keadaan trafik dan merancang perjalanan dengan lebih baik,” katanya.

 

PENYELENGGARAAN DAN PENAMBAHBAIKAN

Mengulas lanjut, Ahmad berkata kerajaan dan syarikat konsesi mengambil tanggungjawab bersama dalam melaksanakan penyelenggaraan lebuh raya secara berterusan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna.

Langkah itu bukan sahaja membantu memastikan aset lebuh raya sentiasa berada pada tahap terbaik, malah turut menyokong usaha meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna.

“Kos operasi dan penyenggaraan bagi keseluruhan lebuh raya mencecah sebanyak RM2.7 bilion setahun,” katanya, menambah kerajaan turut memastikan penglibatan kontraktor bumiputera dalam projek pembinaan dan penyenggaraan lebuh raya. 

“…dan dari Januari hingga Mac 2026, jumlah nilai kontrak yang dianugerahkan kepada kontraktor bumiputera bernilai RM5.18 bilion yang melibatkan 1,286 kontraktor,” dedah beliau.

Menurut timbalan menteri itu lagi  kerajaan menambah baik infrastruktur lebuh raya berdasarkan keperluan semasa bagi meningkatkan tahap keselamatan, kelancaran perjalanan serta kesejahteraan pengguna.

Sehubungan dengan itu, pelbagai projek berskala besar dan inisiatif keselamatan terus dilaksanakan, antaranya termasuk Projek Penyuraian Trafik Juru-Sungai Dua serta Projek Pembinaan Lorong Tambahan Lebuhraya Utara-Selatan dari Yong Peng (Utara) ke Senai (Utara).

Kedua-dua projek itu bertujuan menaik taraf dan meningkatkan kapasiti Lebuhraya Utara-Selatan  bagi menangani kesesakan serta meningkatkan kelancaran perjalanan.

Selain itu, Ahmad berkata LLM sedang memasang sebanyak 3,000 unit lampu LED berkuasa solar di Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Lebuhraya Pantai Timur serta Lebuhraya Seremban-Port Dickson.

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan tahap pencahayaan di lokasi berkenaan, sekali gus memperkukuh aspek keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya.

Maju Johor
Pemantauan trafik dilaksanakan secara berterusan 24 jam sehari oleh Pusat Pengurusan Trafik (TMC) LLM.

Kerja-kerja pemasangan lampu LED berkuasa solar tersebut dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Dalam pada itu,  di bawah payung inisiatif Bitara MADANI, kerajaan telah mengambil langkah proaktif membina tempat teduhan motosikal bagi menyediakan perlindungan yang lebih selamat untuk penunggang sewaktu cuaca hujan lebat.

“Jumlah terkini tempat teduhan yang telah siap beroperasi di seluruh rangkaian lebuh raya negara setakat 2025 adalah sebanyak 571 lokasi, dan sebagai tambahan, LLM menyasarkan pembinaan 15 lokasi baharu sepanjang tahun ini dalam usaha memastikan penunggang tidak lagi berteduh di bahu jalan atau di bawah jambatan yang amat berisiko tinggi,” tambahnya.

 

PEMERKASAAN TEKNOLOGI

Mengulas lebuh raya pintar, Ahmad berkata konsep itu bukan sekadar menjadikan lebuh raya lebih moden, sebaliknya merupakan satu pendekatan yang memanfaatkan teknologi secara menyeluruh bagi mewujudkan perjalanan lebih selamat, selesa dan lancar untuk pengguna.

Beliau berkata antara teknologi yang sedang diperkenalkan dan diterima pakai  adalah penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang membantu membuat analisis serta menyokong proses membuat keputusan dengan lebih pantas dan tepat.

“Selain itu, Intelligent Transport System (ITS) turut memainkan peranan penting melalui pelbagai komponen seperti CCTV pintar, sistem pengesanan kenderaan dan insiden secara automatik, paparan mesej elektronik, Weight In-Motion (WIM), sistem lampu isyarat pintar serta lampu jalan LED pintar.

“Teknologi ini akan diselaraskan dan dihubungkan ke Pusat Pengurusan Trafik LLM bagi membantu mengurus aliran trafik dengan lebih cekap, memantau keadaan lebuh raya secara berterusan dan membolehkan insiden dikenal pasti serta ditangani dengan lebih pantas,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata KKR turut memanfaatkan data analitik bagi memahami corak dan pergerakan trafik dengan lebih mendalam, yang secara tidak langsung membantu merancang tindakan yang lebih berkesan dalam aspek pengurusan aliran trafik, penyelenggaraan infrastruktur serta tindak balas terhadap situasi kecemasan.

Daripada perspektif pengguna pula, penggunaan sistem pembayaran tol digital yang menyokong pelbagai kaedah transaksi bukan sahaja memudahkan urusan di plaza tol, malah mempercepat perjalanan serta memberikan fleksibiliti kepada pengguna tanpa bergantung pada satu kaedah pembayaran sahaja.

Maju Johor
Pengguna lebuh raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak tidak dikenakan bayaran tol.

Semua teknologi berkenaan turut diperkukuh menerusi komunikasi masa nyata yang membolehkan maklumat berkaitan keadaan trafik, kemalangan, penutupan lorong dan kerja-kerja penyelenggaraan disampaikan kepada pengguna dengan pantas dan tepat.

“Malah, baru-baru ini LLM dan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) telah memeterai satu memorandum persefahaman bagi memperkukuh liputan telekomunikasi di sepanjang lebuh raya.

“Kerjasama ini merupakan satu langkah penting kerana lebuh raya masa depan bukan sahaja perlu menyediakan perjalanan yang selamat dan cekap, tetapi turut perlu memastikan pengguna sentiasa mempunyai akses kepada rangkaian komunikasi yang stabil,” tambahnya.

 

PERANCANGAN MASA DEPAN

Berhubung perancangan masa depan, Ahmad berkata kerajaan bersama-sama dengan syarikat konsesi berhasrat merealisasikan sistem Multi Lane Free Flow (MLFF) di negara ini, iaitu satu sistem pembayaran tol tanpa sentuh dan tanpa henti di lebuh raya, sekali gus melancarkan aliran trafik.

Menurut beliau, pelaksanaan projek itu akan menggunakan pendekatan Business-to-Business (B2B), dengan syarikat konsesi melantik penyedia perkhidmatan bagi melaksanakan sistem berkenaan tanpa melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan.

Ketika ini pelbagai aspek pelaksanaan sedang diperhalusi, termasuk pembangunan “business rules” yang menjadi asas pelaksanaan MLFF.

“Mengikut perancangan, pelaksanaan MLFF akan dibuat secara berperingkat dengan pelaksanaan awal Single Lane Fast Flow (SLFF) akan dilaksanakan pada 2027 setelah pindaan akta serta perundangan dimuktamadkan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan akan menyediakan satu kerangka perundangan yang komprehensif bagi menyokong pelaksanaan sistem tersebut, termasuk dari segi kuasa kepada agensi penguat kuasa serta tindakan undang-undang terhadap pesalah.

Menurut Ahmad, kerajaan mempunyai perancangan yang jelas dan strategik dalam membangunkan serta memperluas jaringan lebuh raya di Malaysia berpandukan Highway Network Development Plan (HNDP), dengan tumpuan adalah memantapkan keterhubungan dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan lebuh raya sedia ada.

“Cadangan pembangunan lebuh raya baharu akan dipertimbangkan daripada pelbagai aspek merangkumi faktor teknikal, kewangan serta impak sosial, bagi memastikan laluan itu akan dapat memberi nilai terbaik kepada rakyat dan menyokong pembangunan negara.

“Kerajaan yakin penyempurnaan jaringan lebuh raya pada masa akan datang akan terus memperkukuh infrastruktur negara serta menjadi pemacu utama daya saing ekonomi Malaysia,” katanya, menambah hasil pembangunan lebuh raya yang dijalankan secara tersusun dalam tempoh lima hingga 15 tahun lalu sedang dinikmati oleh rakyat hari ini.

-- BERNAMA