Am 29/09/2026 10:06 AM

Lotus’s Ceria Charity Run Kumpul RM500,000 Untuk Pendidikan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lotus’s Ceria Charity Run Kumpul RM500,000 Untuk Pendidikan
Kredit: Lotus’s Malaysia

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Lotus’s Ceria Charity Run (CCR’26) edisi keempat berjaya mengumpul RM500,000 bagi menyokong Program Lotus’s - PINTAR SMART Up School dalam usaha memperkasakan pelajar melalui pendidikan dan literasi kewangan.

Acara larian yang berlangsung di Lotus’s Ara Damansara, di sini Ahad lepas menghimpunkan 5,000 peserta dengan dana yang dikumpul menyumbang kepada matlamat program untuk memperkasakan 50,000 pelajar di seluruh negara menjelang 2030.

Ketua Pegawai Eksekutif Lotus’s Malaysia Saksit Panurach berkata larian amal itu bertujuan menghimpunkan komuniti, selain membuka peluang lebih baik kepada pelajar.

“Keistimewaan Ceria Charity Run ialah setiap kilometer yang dilalui menyumbang kepada matlamat yang lebih besar. Ketika larian ini dilancarkan pada 2023, kami mahu mewujudkan platform yang menyatukan komuniti, di samping menyokong peluang yang lebih baik untuk pelajar.

“Empat tahun kemudian, kami berjaya mengumpul kutipan tertinggi RM500,000 dan semakin menghampiri sasaran untuk memperkasakan 50,000 pelajar di seluruh negara menjelang 2030. Kami berterima kasih kepada setiap peserta, penaja dan rakan kongsi yang menjayakan usaha ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Lotus’s Malaysia dan Yayasan PINTAR bekerjasama sejak 2016 menerusi Program Sekolah Angkat sebagai sebahagian daripada inisiatif pendidikan #KitakanJiran syarikat itu.

Program Lotus’s-PINTAR SMART Up School merangkumi Smart Shopper Plus yang dilancarkan pada Ogos 2025 bagi membekalkan pelajar dengan kemahiran literasi kewangan praktikal, termasuk membezakan keperluan dengan kehendak, mengurus belanjawan dan berbelanja secara bijak.

Sejak dilancarkan, Smart Shopper Plus memberikan manfaat kepada 2,394 pelajar di 21 sekolah angkat Lotus’s di tujuh negeri, dengan kadar penyelesaian matlamat program mencapai 96 peratus.

Setiap pendaftaran CCR’26 menyumbang RM20 kepada program berkenaan, selain pelari turut berpeluang membeli jersi edisi khas CCR’26 pada harga RM30, dengan hasil jualan turut disalurkan kepada tujuan sama.

CCR’26 mendapat sokongan penaja eksklusif Milo, Omega, Nestum, Nescafe, Maggi, KitKat, Nestle Ice Cream, Enercal dan Heitech, serta penaja platinum Chipsmore, Jacobs, Tiger dan TanjongEx.

Acara itu turut menampilkan Race Village dengan 36 reruai persampelan produk, permainan mesra keluarga serta pelbagai makanan dan minuman.

Edisi 2026 buat kali pertama turut memperkenalkan kategori separuh maraton 21.1 kilometer (km) meliputi Terbuka dan Veteran lelaki serta wanita, selain kategori Shop & Run 5 km dan 10 km.

-- BERNAMA