Am 29/09/2026 09:53 AM

Kaedah EVH Tawar Parut Kecil, Pemulihan Pantas Selepas Pembedahan Pintasan Jantung

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kaedah EVH Tawar Parut Kecil, Pemulihan Pantas Selepas Pembedahan Pintasan Jantung

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Apabila pesakit menjalani pembedahan cantuman pintasan arteri koronari (CABG), tumpuan akan diberikan kepada rawatan saluran darah tersumbat pada jantung namun ia boleh menyebabkan luka agak besar pada kaki, iaitu di bahagian urat yang diambil untuk digunakan dalam prosedur itu.

Menerusi kaedah pengambilan urat secara konvensional, satu hirisan panjang di kaki namun pesakit kini mempunyai pilihan menerusi kaedah pengambilan urat secara endoskopik (EVH), iaitu teknik invasif minimum yang menggunakan hirisan kecil dan kamera untuk mengeluarkan urat tersebut.

Pakar Perunding Pembedahan Kardiotoraks Sunway Medical Centre Velocity (SMCV) Dr Mohd Zamrin Dimon berkata teknik itu memberikan beberapa kelebihan kepada pesakit termasuk parut lebih kecil, kurang kesakitan, penyembuhan luka lebih cepat dan risiko komplikasi pada luka lebih rendah.

Beliau berkata EVH amat bermanfaat bagi pesakit yang mungkin mengalami masalah dalam proses penyembuhan luka termasuk pesakit diabetes.

Dr Mohd Zamrin berkata apabila beberapa arteri koronari utama mengalami penyumbatan yang ketara, pembedahan CABG mungkin disyorkan bagi meningkatkan aliran darah ke jantung dan mengurangkan risiko serangan jantung.

“CABG ialah pembedahan pintasan jantung untuk mewujudkan laluan baharu bagi aliran darah apabila arteri koronari yang membekalkan darah ke jantung menjadi sempit atau tersumbat.

“Apa yang kami lakukan ialah membina saluran darah baharu menggunakan saluran yang diambil dari bahagian lain badan seperti arteri daripada dada, arteri radial daripada lengan atau vena safena daripada kaki,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di Sunway Medical Centre Velocity di sini baru-baru ini.

Beliau berkata vena safena lazimnya digunakan kerana ia agak panjang, bersaiz besar dan terletak di bahagian cetek di bawah kulit.

Dr Mohd Zamrin berkata pesakit yang memerlukan beberapa pintasan mungkin memerlukan lebih daripada satu cantuman vena, dengan satu segmen vena boleh berukuran kira-kira 18 hingga 20 sentimeter (cm).

“Dalam kaedah konvensional yang kami panggil pengambilan vena secara terbuka (OVH), proses mengeluarkan vena sepanjang itu memerlukan hirisan panjang di kaki... jika kami memerlukan vena sepanjang 40 cm, luka pada kaki juga boleh mencapai 40 cm panjang... jadi, bayangkan selain mempunyai parut besar di dada, pesakit juga terpaksa berdepan satu lagi parut panjang di kaki,” katanya.

Selain parut, Dr Mohd Zamrin berkata luka besar pada kaki juga boleh menjadi cabaran tambahan dalam proses pemulihan selepas pembedahan CABG, dan sesetengah pesakit yang menjalani kaedah OVH mengalami luka yang masih berair atau terbuka selama beberapa minggu selepas pembedahan serta memerlukan rawatan dan balutan secara berterusan.

“Kadangkala selepas lima atau enam minggu, luka masih berair dan masih terbuka menyebabkan pesakit perlu menjalani proses menukar balutan dengan kerap terutama pesakit diabetes,” katanya.

Beliau berkata luka yang besar juga boleh menyebabkan pergerakan pesakit menjadi lebih sukar serta tidak selesa sepanjang tempoh pemulihan, dan berpotensi menyebabkan pesakit kurang bergerak pada peringkat awal sedangkan pergerakan itu penting bagi mengurangkan risiko pembentukan darah beku serta komplikasi lain termasuk strok.

Berbeza dengan kaedah membuat hirisan panjang, Dr Mohd Zamrin berkata EVH hanya memerlukan bukaan kecil untuk membolehkan pakar bedah memasukkan endoskop atau kamera kecil bagi memandu proses mengeluarkan vena di sepanjang kaki.

Kulit di sekeliling kawasan itu sebahagian besarnya kekal utuh, menyebabkan pesakit hanya mempunyai sehingga tiga hirisan kecil dengan setiap satu berukuran kira-kira 4 cm.

Selain itu, Dr Mohd Zamrin berkata perbezaan dari segi tempoh pemulihan juga ketara, dengan luka berpotensi tertutup dalam tempoh dua hingga tiga hari dan membolehkan pesakit mula bergerak tidak lama selepas pembedahan serta kembali menjalani aktiviti harian.

Walaupun mempunyai potensi manfaat, beliau menganggarkan hanya sebahagian kecil prosedur CABG pada masa ini menggunakan kaedah EVH, dengan keperluan terhadap kemahiran dan latihan khusus adalah antara faktor yang menyebabkan penggunaannya masih terhad.

Beliau berkata prosedur EVH juga mengambil masa lebih lama berbanding kaedah pengambilan vena secara konvensional, dengan prosedur endoskopik mengambil masa kira-kira sejam atau lebih lama berbanding sekitar 45 minit bagi kaedah tradisional, khususnya apabila bahagian vena lebih panjang diperlukan.

Dr Mohd Zamrin berkata perkara itu bukan hanya berkisar tentang menggantikan sepenuhnya kaedah pengambilan vena secara konvensional sebaliknya memastikan pesakit mengetahui bahawa terdapat pilihan lain yang boleh dipertimbangkan.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan akhir perlu dibuat berdasarkan penilaian perubatan yang sewajarnya dan perbincangan dengan pakar bedah yang merawat pesakit.

Walaupun kebanyakan pesakit sesuai menjalani EVH, Dr Mohd Zamrin berkata mereka yang mempunyai masalah vena varikos, vena yang terlalu hampir dengan permukaan kulit atau vena yang terlalu kecil mungkin tidak sesuai dengan kaedah pengambilan vena secara endoskopik.

-- BERNAMA