Am 29/09/2026 10:13 AM

KEDA Salur RM20.11 Juta Geran Bantuan Kepada 1,172 Usahawan Di Kedah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KEDA Salur RM20.11 Juta Geran Bantuan Kepada 1,172 Usahawan Di Kedah
Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Datuk Seri Mahdzir Khalid (enam, kiri) bergambar bersama pemenang pada Majlis Apresiasi Usahawan KEDA Tahun 2026 malam tadi.

ALOR SETAR, 29 Sept (Bernama) -- Sebanyak 1,172 usahawan di Kedah menerima manfaat geran bantuan berjumlah RM20.11 juta daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dari 2023 hingga tahun lepas.

Pengerusi KEDA Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata bantuan berkenaan antara usaha agensi itu untuk memperkukuh keupayaan usahawan, khususnya yang menjalankan perniagaan di kawasan luar bandar.

“Berdasarkan rekod bagi tempoh ini, KEDA telah membelanjakan RM20,111,356 menerusi pelbagai bentuk geran bantuan kepada golongan usahawan.

“Bantuan ini disediakan bagi membantu meningkatkan keupayaan perniagaan usahawan serta memperkukuh asas perniagaan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Usahawan KEDA Tahun 2026, di sini malam tadi.

Beliau berkata KEDA turut memperuntukkan lebih RM6.87 juta atau RM6,872,319 pada tahun ini bagi meneruskan pelbagai program pembangunan keusahawanan di Kedah.

Mahdzir berkata peruntukan tersebut antaranya melibatkan program latihan dan bimbingan, pelabelan serta promosi produk, bantuan peralatan perniagaan dan penyertaan usahawan dalam ekspo serta pameran.

“Kesemua inisiatif ini dirangka bagi membantu usahawan meningkatkan pengetahuan, kemahiran, penjenamaan serta capaian pasaran produk masing-masing,” katanya.

Dalam usaha menyediakan ekosistem perniagaan yang lebih kondusif, katanya KEDA turut menyediakan 528 lot premis untuk disewakan kepada usahawan, dengan 466 lot telah disewakan setakat ini.

Daripada jumlah itu, 223 unit terdiri daripada kedai dan gerai, 148 unit bengkel Industri Kecil dan Sederhana (IKS), satu unit premis perniagaan komersial dan tujuh lot tanah industri.

Beliau berkata baki 149 unit pula terdiri daripada premis IKS dan kedai di bawah seliaan anak syarikat KEDA.

“Penyediaan kemudahan premis ini memberi ruang kepada usahawan untuk menjalankan serta mengembangkan aktiviti perniagaan dalam persekitaran yang lebih tersusun,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir menggesa usahawan desa supaya lebih bersedia menghadapi perubahan landskap perniagaan yang semakin dinamik dan mencabar.

Beliau berkata usahawan tidak seharusnya hanya memberi tumpuan untuk mengekalkan operasi sedia ada, sebaliknya perlu berani mengembangkan perniagaan serta meneroka pasaran baharu.

“Usahawan perlu memanfaatkan teknik pemasaran digital yang mampu meningkatkan capaian pasaran dengan kos yang lebih rendah.

“Selain kaedah perniagaan secara tradisional, mereka perlu aktif mempromosikan produk dan perniagaan menerusi platform digital seperti TikTok, Instagram, Facebook serta platform e-dagang seperti Shopee dan Lazada,” katanya.

-- BERNAMA