Am 29/09/2026 09:48 AM

Raja Perlis Berkenan Terima Menghadap Ketua Polis Negara

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Raja Perlis Berkenan Terima Menghadap Ketua Polis Negara
Kredit: Istana Arau

KANGAR, 29 Sept (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menerima menghadap Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail dalam satu majlis di sini, semalam.

Turut berangkat ialah Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Istana Arau dalam kenyataan hari ini memaklumkan pertemuan itu diadakan bertujuan memperkenalkan Ketua Polis Perlis baharu DCP Hamzah Hashim, yang pelantikan berkenaan dilihat sebagai langkah strategik berikutan pengalaman luas beliau dalam mengendalikan operasi khusus dan taktikal berkualiti tinggi.

"DCP Hamzah Hashim bukanlah nama asing dalam landskap keselamatan negara. Sebelum pelantikan ini, anak watan Perlis itu menggalas tanggungjawab berat sebagai Komander 69 Komando (VAT 69) di bawah Pasukan Gerakan Khas (PGK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) di Ulu Kinta, Perak," menurut Istana Arau.

Istana Arau memaklumkan kehadiran Hamzah di tampuk kepimpinan tertinggi kontinjen negeri dijangka memberikan impak besar, khususnya dalam memperkukuh keselamatan sempadan utara negara daripada sebarang ancaman rentas sempadan, serta memantapkan ketenteraman awam menerusi strategi kepolisan proaktif.

Terdahulu, majlis serah terima tugas rasmi Ketua Polis Perlis baharu itu berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dengan disaksikan Ketua Polis Negara.

Hamzah menggantikan Datuk Muhammad Abdul Halim yang dinaikkan pangkat ke Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah KDNKA (Gerakan/Operasi).

-- BERNAMA