Am 22/09/2026 12:07 AM

ACCA, KPM Perkasa 1,000 Tenaga Pendidik Perakaunan Di Seluruh Negara

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
ACCA, KPM Perkasa 1,000 Tenaga Pendidik Perakaunan Di Seluruh Negara
Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi meningkatkan kemahiran kira-kira 1,000 pendidik Prinsip Perakaunan di seluruh negara, sekali gus menyokong sasaran Malaysia melahirkan 60,000 akauntan menjelang 2030.

Dalam kenyataan hari ini, ACCA memaklumkan inisiatif itu bertujuan memperkukuh kumpulan bakat perakaunan negara dengan meningkatkan pengetahuan perakaunan dan peluang pembangunan profesional dalam kalangan pendidik.

Ia sekali gus membolehkan mereka memperkenalkan literasi kewangan, bidang perakaunan serta pelbagai laluan kerjaya dalam profesion itu kepada pelajar dengan lebih berkesan.

“Inisiatif itu turut menyokong objektif ACCA dalam memajukan literasi kewangan, dan meningkatkan daya tarikan profesion perakaunan serta kesedaran mengenai laluan Foundations in Accountancy (FIA), selain membangunkan kumpulan bakat profesional perakaunan dan kewangan. 

“Melalui inisiatif ini, pendidik yang mengambil bahagian akan mengikuti diploma ACCA Financial and Management (RQF Tahap 2) untuk memperkukuh pengetahuan serta keupayaan dalam perakaunan dan literasi kewangan,” menurut kenyataan itu.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata selain memperkukuh tenaga profesional, usaha membangunkan bakat dalam perakaunan perlu menumpukan kepada usaha menyuntik inspirasi dan mempersiapkan generasi akan datang.

“Sasaran negara untuk melahirkan 60,000 akauntan menjelang 2030 memerlukan kita bukan sahaja memberi tumpuan kepada tenaga profesional sedia ada, tetapi juga memberi inspirasi dan mempersiapkan generasi akan datang.”

“Dengan memperkukuh keupayaan guru, kita turut memperkasa mereka untuk membimbing pelajar menyambung pengajian dan membina kerjaya masa depan dalam bidang perakaunan, kewangan dan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata bidang perakaunan ialah profesion yang sentiasa berkembang dan semakin berkait rapat dengan teknologi, kemampanan, strategi perniagaan, keusahawanan serta pembuatan keputusan.

Pendidik memainkan peranan penting dalam membantu pelajar memahami bagaimana pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari boleh diaplikasikan dalam situasi dunia sebenar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ACCA Helen Brand berkata pendidik ialah rakan kongsi  penting dalam usaha ACCA memajukan literasi kewangan dan membangunkan bakat yang diperlukan majikan untuk mengembangkan perniagaan serta organisasi. 

“Tugas kami adalah untuk memastikan pembelajaran dan latihan yang ditawarkan kepada pelajar relevan dengan perubahan dunia, apabila agenda perniagaan semakin dipengaruhi oleh usaha ke arah kemampanan serta perkembangan pesat keupayaan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI).

“Justeru, kami menggalakkan pendidik membantu pelajar untuk menyedari yang bidang perakaunan bukan sekadar satu mata pelajaran, tetapi laluan kepada peluang kerjaya yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata pelajar juga perlu didedahkan bahawa kelayakan ACCA boleh membuka peluang yang menarik, bukan sahaja di dalam negara malah di seluruh dunia,” katanya.

Program itu mendapat kerjasama TYMBA Education, iaitu rakan kongsi ACCA, yang menyediakan tuisyen, sokongan akademik dan pelaksanaan program kepada pendidik yang mengambil bahagian.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Airil Razali berkata inisiatif itu menunjukkan kepentingan melabur dalam pembangunan pendidik sebagai usaha memperkukuh pendedahan pelajar terhadap bidang perakaunan dan peluang kerjaya. 

“Selain pengetahuan teknikal dan pendedahan, kami turut melengkapkan mereka dengan pengetahuan  dan keyakinan untuk menerangkan perkembangan profesion ini, termasuk bagaimana AI dan teknologi digital mengubah cara tugas kewangan dilaksanakan, serta kepentingan pelaporan yang mampan.

“Apabila pendidik memahami perubahan ini, mereka boleh mendidik pelajar untuk menyedari bahawa bidang perakaunan, kewangan dan perniagaan adalah pilihan kerjaya yang mempunyai masa depan,” katanya.

Sebanyak 156 pendidik daripada kumpulan pertama yang menamatkan program itu menerima pengiktirafan pada Majlis Kecemerlangan dan Penghargaan Pendidik 2026 bertemakan “Empowering Educators, Shaping Futures”.

Mereka akan menjadi duta pendidik ACCA untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar serta menggalakkan mereka meneroka peluang menyambung pengajian dan kerjaya dalam bidang perakaunan, kewangan dan perniagaan.

-- BERNAMA