Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali
KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Penyertaan Malaysia dalam Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2026 ke-23 di Nanning, China, membuka peluang baharu kepada perniagaan tempatan untuk memperluas pasaran di China, khususnya bagi produk halal, makanan dan minuman serta hasil pertanian.
Ekspo selama lima hari itu berakhir hari ini.
Wartawan CGTN Xu Hua berkata penyertaan kukuh Malaysia pada ekspo itu menerusi 111 reruai pameran mencerminkan kepelbagaian keupayaan eksport negara serta minat yang semakin meningkat untuk memperkukuh hubungan perdagangan dengan China.
Beliau berkata demikian menerusi program Bernama World pada Isnin secara maya dalam perbincangan bertajuk “CAEXPO 2026: Malaysia, China & The Future of ASEAN Trade”.
Menurut Xu Hua, pempamer Malaysia mengetengahkan produk dan perkhidmatan merangkumi media, peranti perubatan, produk isi rumah, makanan dan minuman, hasil pertanian, penjagaan diri dan kosmetik, farmaseutikal serta pelancongan.
Antara yang menjadi tumpuan ialah penyertaan 16 syarikat halal Malaysia menerusi misi perdagangan khusus, meliputi makanan dan minuman halal, penjagaan diri serta produk pengguna.
“Mereka mengadakan sesi pemadanan perniagaan ke perniagaan (B2B) dengan syarikat China yang memberi tumpuan kepada urus niaga sebenar bagi perolehan dan pengedaran,” katanya.
Xu Hua berkata pempamer Malaysia turut memeterai perjanjian kebenaran penggunaan jenama dengan rakan kongsi China sepanjang ekspo itu, termasuk urus niaga membabitkan produk durian yang bertujuan memperluas kehadirannya dalam pasaran China.
Beliau berkata seorang pempamer Malaysia yang ditemu bualnya menyuarakan keyakinan terhadap potensi besar pasaran China, sambil menekankan kepentingan mengenal pasti peruncit dan pengimport yang sesuai bagi memudahkan eksport.
China kekal sebagai rakan dagang tunggal terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, katanya sambil menambah ekspo itu menjadi platform kepada perniagaan dari seluruh ASEAN untuk meneroka peluang perdagangan dan pertumbuhan baharu.
Selain penyertaan Malaysia, Xu Hua berkata CAEXPO tahun ini turut mencatat beberapa pencapaian bersejarah, termasuk penyertaan pertama Timor-Leste sebagai penganjur bersama, sekali gus menghimpunkan kesemua 11 negara anggota ASEAN.
Ekspo itu menarik penyertaan lebih 3,400 syarikat dari lebih 70 negara dan wilayah dengan ruang pameran seluas 170,000 meter persegi.
Beliau berkata acara itu turut mencerminkan peralihan ke arah teknologi baharu, khususnya kecerdasan buatan (AI), keterhubungan digital dan pembangunan hijau, ketika China dan ASEAN berusaha memperdalam kerjasama ekonomi serantau.
Buat julung kali, CAEXPO memperkenalkan ruang pasaran khusus AI yang menampilkan lebih 500 produk AI pengguna daripada lebih 70 syarikat, termasuk peranti boleh pakai pintar, peranti kesihatan di rumah dan robot isi rumah.
Xu Hua berkata pengunjung boleh mencuba dan membeli produk berasaskan AI secara langsung, manakala sistem pemadanan perdagangan baharu berasaskan AI menghubungkan lebih 8,000 pempamer dengan bakal pembeli sebelum ekspo itu bermula.
Satu lagi ciri baharu ialah ruang khusus permintaan ASEAN yang mengetengahkan keperluan negara anggota ASEAN, berbanding hanya memberi tumpuan kepada produk dan perkhidmatan yang ditawarkan China.
Ekspo itu turut menganjurkan lebih 50 aktiviti promosi perdagangan dan pelaburan bagi memperkukuh kerjasama ekonomi serantau.
-- BERNAMA