Daripada Muhammad Afiff Md Adnan
NAGOYA, 21 Sept (Bernama) -- ksi hari ketiga Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 hari ini menyaksikan kontinjen Malaysia meneruskan cabaran dalam beberapa sukan utama, dengan skuad badminton lelaki menjadi tumpuan selepas mara ke suku akhir acara berpasukan.
Malaysia membuka kempen dengan kemenangan 3-0 ke atas Mongolia di Ichinomiya City Municipal Gymnasium menerusi perseorangan Leong Jun Hao dan Justin Hoh serta beregu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani.
Kemenangan itu bagaimanapun menyaksikan Malaysia berdepan ujian lebih getir apabila dijadual menentang Indonesia pada suku akhir esok, sekali gus menjadi antara pertemuan paling dinanti pada hari keempat temasya.
Dalam renang, kuartet 4x200 meter (m) gaya bebas lelaki yang dibarisi Khiew Hoe Yean, Arvin Shaun Singh Chahal, Lim Yin Chuen dan Tan Khai Xin turut mencatat pencapaian membanggakan apabila memperbaharui rekod kebangsaan pada final, meskipun menamatkan saingan di tempat kelima.
Cabaran tiga perenang negara dalam acara individu pula berakhir di peringkat saringan apabila Andrew Goh gagal mara dalam 100m kuak dada, manakala Yin Chuen dan Tong Yu Jin tersingkir dalam 50m gaya bebas.
Sementara itu, Malaysia masih belum meraih pingat menerusi wushu dan karate hari ini apabila Lee Jia Rong dan Loh Ying Ting masing-masing menduduki tempat ke-10 dan ke-11 dalam acara changquan wanita.
Dalam karate, Mohamad Haznil Henry terlepas gangsa selepas tewas dalam aksi penentuan pingat acara kata lelaki, manakala cabaran Zakiah Adnan berakhir pada repechage kumite bawah 61 kilogram (kg) wanita.
Tumpuan kini beralih kepada aksi hari keempat esok, dengan pertemuan suku akhir badminton berpasukan lelaki antara Malaysia dan Indonesia antara acara yang dinantikan.
Saingan renang juga dijangka kembali menjadi perhatian, selain atlet negara dalam beberapa sukan lain meneruskan cabaran memburu tempat ke pusingan seterusnya serta peluang menaiki podium.
-- BERNAMA