Dunia 21/09/2026 11:01 PM

Pilihan Raya Legislatif: Hampir 3 Juta Rakyat Palestin Layak Mengundi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pilihan Raya Legislatif: Hampir 3 Juta Rakyat Palestin Layak Mengundi
-- AP Photo/Abdel Kareem Hana

RAMALLAH, 21 Sept (Bernama-WAFA) -- Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Palestin (CEC) pada Isnin memaklumkan kira-kira tiga juta rakyat Palestin di Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis dan Semenanjung Gaza, layak mengundi pada pilihan raya legislatif yang dijadualkan pada 28 Nov ini, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Menurut data demografi yang dikeluarkan CEC, jumlah pengundi yang layak dianggarkan seramai 2.97 juta orang, termasuk 1.24 juta orang di Semenanjung Gaza, 1.59 juta orang di Tebing Barat dan 140,000 pemegang kad pengenalan Palestin di Baitulmuqaddis.

Suruhanjaya itu memaklumkan angka berkenaan merangkumi warganegara yang memenuhi syarat undang-undang untuk mengundi, iaitu mereka yang berusia sekurang-kurangnya 18 tahun pada hari pengundian.

Data menunjukkan 1.57 juta pengundi yang layak berusia di bawah 38 tahun, mewakili 53 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi.

CEC menyatakan kumpulan umur itu amat signifikan memandangkan hampir dua dekad telah berlalu sejak pilihan raya legislatif Palestin yang terakhir.

Wanita merangkumi 49.9 peratus daripada pengundi yang layak berbanding lelaki sebanyak 50.1 peratus, menurut CEC.

Mengikut kumpulan umur, pengundi berusia 18 hingga 24 tahun merangkumi 17.5 peratus daripada keseluruhan pengundi, individu berusia 25 hingga 35 tahun (30.6 peratus), 36 hingga 45 tahun (20.8 peratus), 46 hingga 55 tahun (14.3 peratus) dan lebih 55 tahun (16.8 peratus).

CEC turut memaklumkan kira-kira 51,000 pengundi yang layak dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) berdaftar di Tebing Barat, mewakili 3.2 peratus daripada jumlah pengundi di wilayah itu.

Data seumpama itu tidak tersedia bagi Semenanjung Gaza.

Suruhanjaya itu memaklumkan pihaknya akan membuat persiapan yang diperlukan bagi memudahkan penyertaan mereka serta menyesuaikan pusat dan tempat mengundi mengikut keperluan mereka.

-- BERNAMA-WAFA