Daripada Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi
CHONGQING (China), 21 Sept (Bernama) -- Chongqing melancarkan kempen komunikasi merentas semua platform media bagi mengetengahkan transformasinya sebagai pusat penggunaan antarabangsa serta mempromosikan peluang baharu kepada khalayak domestik dan antarabangsa.
Konsep pusat penggunaan antarabangsa itu merangkumi usaha membangunkan Chongqing sebagai hab perbelanjaan dan perkhidmatan bertaraf antarabangsa, termasuk dalam sektor peruncitan, gastronomi, pelancongan, kebudayaan, sukan dan hiburan.
Kempen bertemakan “Discover China - Encountering New Chongqing Through International Consumption” itu dilancarkan di Jiefangbei Guotai Plaza pada 20 Sept dan menghimpunkan hampir 100 wartawan daripada media arus perdana tempatan dan asing.
Pelancaran itu bersempena ulang tahun kelima usaha Chongqing membangunkan bandar raya itu sebagai pusat penggunaan antarabangsa, dengan edisi kedua Chongqing Food Map turut diperkenalkan, selain tawaran baharu dalam sektor kebudayaan dan pelancongan untuk pelawat antarabangsa, program sukan dan pelancongan serta pelbagai aktiviti utama bagi merancakkan perbelanjaan pengguna.
Kempen itu menggunakan kerangka “5+3+N” merangkumi lima inisiatif utama, tiga aktiviti sokongan serta beberapa program komunikasi di peringkat daerah dan wilayah.
Lima inisiatif utama itu termasuk lawatan wartawan asing ke Chongqing, kunjungan pempengaruh media sosial dari China dan luar negara, lawatan tinjauan, acara promosi di Perancis serta program komunikasi antarabangsa.
Ketika berucap pada majlis pelancaran, Pengarah Suruhanjaya Perdagangan Perbandaran Chongqing Zhang Yongwu berkata landskap perbelanjaan dan gaya hidup bandar raya itu berkembang seiring dengan keunikan budaya dan geografinya.
“Chongqing sejak sekian lama merupakan bandar raya yang dinamik dan penuh daya tarikan sebagai destinasi perbelanjaan. Daripada warisan budaya Ukiran Batu Dazu hingga kawasan komersial moden serta pasar malam yang meriah, bandar raya ini terus membangunkan landskap perbelanjaan dan gaya hidup tersendiri yang mencerminkan sejarah serta kedinamikan semasanya,” katanya.
Zhang berkata Chongqing terus memperkukuh penjenamaan bandar raya itu, termasuk “Chongqing that Never Sleeps”, “Landscape-oriented Tourism Destination” dan “World-Famous Gastronomy City”, selain menduduki tempat pertama dalam senarai 10 Bandar Ekonomi Waktu Malam Paling Berpengaruh di China selama empat tahun berturut-turut.
Bandar raya itu turut menaik taraf 30 zon komersial utama dan membangunkan lebih 100 tarikan serta ruang perniagaan baharu di sepanjang tebing sungai, kawasan tebing tinggi, bekas tempat perlindungan serangan udara dan dek tinjau di atas bumbung, manakala hubungan perdagangan antarabangsa membolehkan penduduk mendapatkan produk serta menikmati sajian dari seluruh dunia tanpa perlu ke luar negara.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Jawatankuasa Parti Daerah Yuzhong merangkap Datuk Bandar Daerah He Du berkata daerah itu sedang memperkukuh kedudukannya sebagai kawasan utama bagi pusat penggunaan antarabangsa menerusi penambahbaikan kemudahan, perkhidmatan serta akses untuk pelancong.
“Tiga daerah perniagaan utama, 20 pusat beli-belah dan 10 kawasan bercirikan tradisional menyediakan ruang perniagaan seluas 2.3 juta meter persegi yang dipenuhi kegiatan ekonomi yang rancak.
“Pada masa sama, kami sedang membangunkan kawasan perintis bayaran balik cukai dan zon perintis kemudahan pembayaran bagi memudahkan pengunjung antarabangsa membeli-belah, menjamu selera dan mendapatkan perkhidmatan di Yuzhong,” katanya pada majlis pelancaran itu.
Chongqing diluluskan pada Julai 2021 bersama empat bandar raya lain sebagai kumpulan pertama bandar perintis China bagi membangunkan pusat penggunaan antarabangsa.
Sepanjang lima tahun lepas, bandar raya itu melaksanakan pembangunan menerusi pengantarabangsaan, pertumbuhan yang dipacu perbelanjaan pengguna serta pengukuhan kedudukannya sebagai hab utama.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ulang tahun itu, 33 wartawan media utama dari 30 negara, termasuk Bernama, baru-baru ini menyempurnakan lawatan lapangan selama tiga hari yang merangkumi lokasi penggunaan di Yuzhong, Nan’an, Shapingba dan Kawasan Baharu Liangjiang.
-- BERNAMA