JAKARTA, 21 Sept (Bernama) -- Majlis media Indonesia atau dikenali sebagai Dewan Pers menyifatkan lima wartawan yang hilang semasa membuat liputan mengenai letusan Anak Krakatau di Selat Sunda, sebagai “pahlawan media”, menonjolkan risiko yang dihadapi pengamal media semasa melaporkan dari kawasan berbahaya.
Pengerusinya Komarudin Hidayat berkata mereka berlima telah berusaha untuk membawa imej terbaik kepada umum dan kejadian itu harus menjadi peringatan kepada organisasi media supaya menyelaras rapat dengan pihak berkuasa tempatan apabila menugaskan wartawan ke kawasan berbahaya.
"Kita biasanya menikmati imej, tetapi kadang-kadang lupa perjuangan di sebalik mendapatkannya. Apabila tragedi seperti ini berlaku, kita diingatkan betapa mahal dan sukarnya untuk mendapatkan imej terbaik," katanya selepas majlis doa selamat untuk wartawan yang hilang di Jakarta pada Isnin, menurut Agensi Berita Antara.
Wartawan yang hilang ialah Muhammad Bagus Khoirunnas dari Antara, Firdaus Wajidi (Anadolu Agency), Ari Basuki (Merdeka.com), Yudistiro Pranoto (iNews) dan wartawan bebas Donal Husni, yang dalam perjalanan bersama anak kapal Warta dan Surakman, dan pemandu Heriyanto.
Kelapan-lapan mereka hilang sejak 7 Sept selepas bot laju mereka terputus hubungan semasa penugasan laporan di Selat Sunda, dengan operasi mencari dan menyelamat secara rasmi ditangguhkan pada 17 Sept selepas 10 hari tidak menemukan sebarang petunjuk.
Dalam ucapannya pada majlis yang disiarkan secara langsung itu, Komarudin menekankan tentang nilai kehidupan manusia dan ketidaktentuan yang dihadapi keluarga mereka yang hilang, sambil berulang kali menyatakan harapan untuk kepulangan mereka.
"Kita berdoa agar mereka kembali. Kita masih memerlukan mereka, dan pada peringkat kehidupan ini, kita masih mahu mereka meneruskan (kehidupan)," katanya.
Ketika komuniti media terus mengingati mereka yang hilang, Antara telah mendedikasikan sebuah bilik di biro Bantennya untuk wartawan foto Muhammad Bagus, yang telah bekerja dengan agensi berita nasional itu di wilayah tersebut selama lapan tahun.
Pengarah Berita Antara Virgandhi Prayudantoro berkata bilik itu, yang akan membawa nama Bagus, akan mengekalkan karya kewartawanan fotonya sambil berfungsi sebagai ruang pendidikan dan kreatif untuk wartawan Antara dan penggiat media lain di Banten.
-- BERNAMA