GEORGE TOWN, 20 Sept (Bernama) -- Penang FC enggan mengalah meskipun berhadapan defisit lima gol, menjelang aksi timbal balik suku akhir Piala FA 2026/2027 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, 9 Okt depan.
Ketua Jurulatih Wan Rohaimi Wan Ismail berkata Harimau Kumbang akan tetap turun memberikan saingan dan berjuang habis-habisan sepanjang 90 minit, selepas tewas 2-7 pada aksi pertama di Stadium Bandaraya di sini, hari ini.
“Kita ketinggalan lima gol dan akan bermain di gelanggang lawan yang dianggap gelanggang keramat. Namun, kita tidak boleh terus menyerah kalah.
“Kita akan pergi untuk memberi saingan, bukan untuk menjual maruah. Apa juga yang terjadi, kita kena beri habis-habisan sepanjang 90 minit,” katanya pada sidang media selepas perlawanan tamat.
Mengulas kekalahan itu, Wan Rohaimi berkata beberapa kesilapan individu pada bahagian pertahanan, khususnya membabitkan penjaga gol, menyebabkan pasukannya dihukum dengan gol-gol mudah.
Beliau berkata kegugupan penjaga gol gantian yang sudah lama tidak beraksi juga menjadi antara titik kejatuhan pasukan, khususnya ketika Penang FC cuba bangkit selepas berjaya merapatkan kedudukan pada awal babak kedua.
Wan Rohaimi berharap dua penjaga gol utama Penang FC Mohamad Ramadhan Ab Hamid dan Muhammad Khairulazhan Mohd Khalid, sempat pulih daripada kecederaan dalam tempoh dua minggu ini untuk diturunkan pada aksi timbal balik.
Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT Xisco Munoz mengakui anak buahnya mempamerkan aksi lebih baik pada babak kedua, selepas kurang mencipta ancaman meskipun menguasai permainan pada separuh masa pertama.
“Separuh masa kedua lebih baik sedikit. Saya rasa pada separuh masa pertama kami bermain dengan baik kerana menguasai 100 peratus dengan bola, tetapi tidak ada seorang pun yang berbahaya.
“Kami kawal bola, kami gerakkan bola dari satu bahagian ke bahagian lain tanpa mahu mencuba untuk menimbulkan kesukarang kepada mereka dalam kawasan kotak penalti,” katanya.
Munoz berkata jadual padat menyebabkan pemainnya agak keletihan, namun memuji komitmen mereka yang tetap memberikan aksi terbaik, selain menyifatkan kemenangan itu sebagai bekalan baik untuk perlawanan timbal balik.
-- BERNAMA