Am 20/09/2026 11:10 PM

Kebakaran Tambun: Mangsa Maut Akibat Kecederaan Kebakaran, Terhidu Asap - Polis

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kebakaran Tambun: Mangsa Maut Akibat Kecederaan Kebakaran, Terhidu Asap - Polis
Ahli keluarga dan jemaah menyempurnakan solat jenazah Allahyarham Raja Ahmad Raja Ali, 70, Allahyarhamah Zaitun Mohamed, 64, dan Allahyarham Nik Abdurrahman Azimin Harith Helal, 18, yang maut dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah teres dua tingkat di Persiaran Desa Tambun 4, Taman Desa Tambun, dan disolatkan di Masjid Jamek Al-Amin Tambun di sini, hari ini.

IPOH, 20 Sept (Bernama) -- Hasil bedah siasat terhadap tiga mangsa kebakaran di Taman Desa Tambun, di sini awal pagi tadi mendapati dua daripadanya meninggal dunia akibat kecederaan berkaitan kebakaran manakala seorang lagi kerana terhidup asap.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata bagaimanapun punca kebakaran sedang disiasat lanjut.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan serta menghormati sensitiviti keluarga mangsa," katanya dalam kenyataan. 

Beliau berkata kejadian melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat itu dipercayai berlaku kira-kira 3.50 pagi.

Muhammad Najib berkata susulan maklumat diterima, pihak polis bersama-sama pasukan bomba digegaskan ke lokasi sebelum kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 6 pagi tadi.

Kebakaran berkenaan meragut nyawa dua warga emas iaitu Raja Ahmad Raja Ali, 70, dan Zaitun Mohamed, 64, serta cucu lelaki mereka Nik Abdurrahman Azimin Harith Helal, 18.

Jenazah kesemua mangsa selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Tambun di sini kira-kira 8.25 malam ini selepas selesai proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

-- BERNAMA