Ekonomi 20/09/2026 11:13 PM

Rayani Air Kembali Beroperasi Pada 2027, Beri Tumpuan Operasi Carter Haji, Umrah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Rayani Air Kembali Beroperasi Pada 2027, Beri Tumpuan Operasi Carter Haji, Umrah

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Rayani Air Sdn Bhd (Rayani Air) mengumumkan kemunculan semulanya di bawah pengurusan baharu, dengan model perniagaan baharu yang memberi tumpuan eksklusif kepada penerbangan carter haji dan umrah yang patuh syariah, serta dijangka mula beroperasi pada 2027. 

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya pada Ahad, syarikat penerbangan itu memperkenalkan diri sebagai Rayani Air 2.0 HALAL, iaitu syarikat 100 peratus milik Bumiputera, dan ia tidak lagi mengendalikan penerbangan domestik berjadual. 

Menurut syarikat penerbangan itu, ia merancang untuk beroperasi menggunakan Airbus A330-300 dengan kapasiti 290 penumpang bagi perkhidmatan Rayani Air 2.0 HALAL, yang dijangka memulakan operasi pada 2027.

Sebelum ini, syarikat penerbangan itu menggunakan pesawat Boeing 737-400 dengan kapasiti 160 penumpang ketika ia beroperasi pada 2015-2016. 

Pada masa sama, ia turut mengakui kekecewaan yang dialami oleh ramai penumpang semasa operasinya pada 2015 dan 2016, khususnya berhubung pembatalan penerbangan dan bayaran balik yang masih belum selesai.

“Isu pembatalan penerbangan dan bayaran balik yang masih belum selesai adalah satu amanah yang amat berat bagi kami. Operasi pada ketika itu adalah di bawah pengurusan lama. 

“Sejak penghentian operasi pada 2016, syarikat ini telah melalui proses penyusunan semula yang panjang," katanya.

Menurut Rayani Air, pihaknya tidak pernah cuba melarikan diri daripada masa lalunya dan menjelaskan ia sedang menyemak rekod berkaitan tuntutan bayaran balik tertunggak dengan bantuan penasihat undang-undang bagi menentukan penyelesaian terbaik melalui saluran yang sewajarnya.

“Kami memohon sedikit masa dan doa daripada semua. Yang lama kita jadikan pengajaran. Yang baharu kita bangunkan dengan amanah,” tambah syarikat itu. 

Syarikat penerbangan itu turut menyatakan ucapan terima kasih kepada orang ramai kerana memberikan peluang kedua kepada Rayani Air.

Dalam pada itu, Rayani Air yang memulakan penerbangan sulungnya pada 20 Disember 2015, menghentikan operasinya pada Jun 2016 selepas Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) membatalkan lesen perkhidmatan udaranya (ASL) pada 13 Jun.

Keputusan MAVCOM itu dibuat atas alasan pelanggaran syarat lesen dan kekurangan keupayaan kewangan serta pengurusan untuk terus beroperasi sebagai syarikat penerbangan komersial.

Pada masa sama, sijil perakuan pengendali udara (AOC) miliknya, yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerbangan Awam, turut dibatalkan pada hari yang sama.

-- BERNAMA