Daripada Noraizura Ahmad
NANNING, 20 Sept (Bernama) -- China mempamerkan keupayaan pasukan bomba dan penyelamatnya dalam melaksanakan misi pemadaman kebakaran serta menyelamat ketika kecemasan di kawasan bandar kepada pihak media dan peserta Bengkel Forum Serantau ASEAN (ARF) kali ketiga mengenai mencari dan menyelamat kecemasan bandar di sini.
Keupayaan itu dipertonton menerusi demonstrasi pelbagai peralatan yang digunakan oleh pasukan bomba dan penyelamat negara itu dalam operasi kecemasan.
Bengkel lima hari bermula 17 hingga 21 Sept itu menghimpunkan peserta ARF dan organisasi antarabangsa bagi melakukan pertukaran teknikal dan aktiviti amali berkaitan operasi menyelamat kecemasan di kawasan bandar.
Wakil media dari Malaysia, Indonesia, Timor-Leste, Thailand, Vietnam dan Kemboja turut berpeluang mengetahui lebih lanjut mengenai pendekatan China dalam operasi pemadaman kebakaran dan penyelamatan, termasuk penggunaan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), tangga udara serta kenderaan khas untuk operasi pemadaman kebakaran.
Pegawai yang bertanggungjawab bagi Kumpulan Latihan Pasukan Bomba dan Penyelamat Guangxi berkata peralatan yang dipertonton dalam demonstrasi itu telah digunakan dalam operasi sebenar pemadaman kebakaran dan penyelamatan.
Antara peralatan itu ialah UAV berkeupayaan operasi jangka panjang yang mampu beroperasi hingga enam jam dan membawa peralatan khusus untuk operasi mencari dan menyelamat, termasuk ketika berlaku gempa bumi, banjir serta hujan lebat.
Bagi menangani kejadian kecemasan di bangunan bertingkat tinggi, China turut mempamerkan keupayaan UAV pemadam kebakaran bertambat yang mampu menyemburkan air pada jarak hingga 150 meter dan buih pemadam api hingga 200 meter.
Peralatan lain yang dipamerkan ialah jentera bomba bertangga udara setinggi 101 meter dan Long Span Water Tower Fire Truck bagi operasi pemadaman kebakaran serta penyelamatan di bangunan tinggi manakala syarikat robotik yang berpangkalan di Shenzhen, Astrall Dynamics turut mempamerkan anjing robot yang dikenali Hypertron-T01 untuk kegunaan industri tugas berat.
Bengkel berkenaan turut menampilkan peralatan untuk situasi khusus termasuk kecemasan di lapangan terbang, gangguan bekalan elektrik dan pemadaman kebakaran menggunakan buih.
Sementara itu, Latihan Lapangan Pelbagai Bahaya yang berlangsung dari 18 Sept hingga hari ini (20 Sept) menghimpunkan lebih 300 anggota penyelamat daripada 21 pasukan dari China dan antarabangsa mewakili 11 negara termasuk Malaysia.
Latihan berkenaan melibatkan simulasi kejadian gempa bumi bermagnitud 7.8 yang berlaku di luar China, disusuli bencana sekunder seperti banjir, banjir kilat di kawasan bandar, kemalangan jalan raya serta kejadian orang ramai terkandas di kawasan terpencil.
Peserta turut menjalankan operasi mencari dan menyelamat yang melibatkan struktur bangunan runtuh, ruang terkurung, kawasan pergunungan, kemalangan trafik serta penyelamatan di air.
Menurut penganjur latihan itu, senario berkenaan turut melibatkan permintaan bantuan kemanusiaan antarabangsa dan dilaksanakan mengikut garis panduan penyelamatan antarabangsa yang ditetapkan oleh Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (INSARAG).
Buat kali pertama, operasi tindak balas gempa bumi dan menyelamat di air disepadukan dalam satu latihan dengan peserta mengaplikasikan kaedah penyelamatan konvensional bersama-sama teknologi seperti robot bawah air dan UAV pelbagai guna bersaiz besar.
Latihan berkenaan turut menguji beberapa aspek penting dalam pengurusan bencana antarabangsa termasuk mobilisasi pasukan, penilaian bersama, pengagihan tugasan, penilaian risiko serta perkongsian maklumat rentas sempadan.
-- BERNAMA