Politik 20/09/2026 11:10 PM

Jangan Guna Isu Kaum Tarik Sokongan - PM Anwar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jangan Guna Isu Kaum Tarik Sokongan - PM Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menerima cenderahati daripada Presiden Huazong Datuk Lim Kah Chuan (dua, kanan) pada Majlis Perasmian Pesta Kebudayaan Cina Malaysia Kali Ke-41 di Encore Theatre Melaka, Klebang.

MELAKA, 20 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegur parti politik untuk tidak menggunakan isu perkauman bagi menarik sokongan.

Beliau berkata taktik itu sering digunakan jika parti politik berada dalam keadaan terdesak, terutama ketika berlaku dinamika politik yang tidak menguntungkan mereka.

“Kemudian politiknya simpang-siur, gaduh-gaduh. Bila dah gaduh, semua tarik sokongan, guna isu kaum. Bila terdesak, guna lagi isu kaum,” katan beliau berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kebudayaan Cina Malaysia kali ke-41, di Kota Syahbandar di sini malam ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Steven Sim Chee Keong dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Salhah Salleh.

Beliau berkata Malaysia telah mencapai kemerdekaan sejak 69 tahun lepas dan isu perkauman seharusnya tidak lagi menjadi keutamaan mana-mana masyarakat yang tinggal di dalam negara ini.

Anwar berkata memasuki hampir 70 tahun kemerdekaan negara, Malaysia perlu tampil sebagai sebuah negara yang tumbuh dengan kekuatan pelbagai kaum tidak kira siapa yang memimpin negara.

“Ucapan malam ini lebih kepada rayuan. Rayuan supaya kita kembali dengan kekuatan. Setiap suara dikira. Untuk survival kita.  Tak habis lagi kah, bincang, gaduh. Negeri siapa? Negeri kita.

“(Di tahun) 40-an, 50-an, tahun 1950-an saya faham. (Negara) baru nak merdeka, masing-masing bicara soal survival kaum mereka. 60-an ya, (Malaysia merupakan) negeri baru,” kata beliau.

Anwar berkata sekarang semua suara harus bercakap soal survival masa depan Malaysia sebagai satu negara yang bersatu.

“Bahawa siapa sahaja diberi mandat, siapa sahaja disokong, mesti janji menjaga rakyat, menjaga negara, menjaga masa depan anak-anak kita sebagai satu negara,” kata Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan rasuah serta penyalahgunaan kuasa dan akan membanterasnya habis-habisan.

“Saya dan kerajaan (pimpinan) saya tidak bertolak ansur dan saya akan terus bertindak tegas untuk bersihkan negara ini, bersihkan negara ini dari rasuah,” kata beliau.

-- BERNAMA