Am 20/09/2026 11:16 PM

Golf Amal UMK Buka Potensi Kerjasama RM60 Juta

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Golf Amal UMK Buka Potensi Kerjasama RM60 Juta
fb Universiti Malaysia Kelantan

KOTA BHARU, 20 Sept (Bernama) -- Golf Amal Universiti Malaysia Kelantan (UMK) 2026 membuka ruang kepada cadangan kerjasama jangka panjang bersama AEI Capital Group dan Yayasan Sayang Malaysia yang berpotensi bernilai hingga RM60 juta.

Naib Canselor UMK Datuk Prof Dr Arham Abdullah berkata cadangan itu merangkumi usaha memperkukuh pendidikan, pembangunan bakat, latihan industri, kerjaya dan keusahawanan bagi manfaat pelajar serta alumni universiti.

Beliau berkata RM10 juta daripada jumlah berkenaan dicadangkan untuk program pendidikan dan pembangunan bakat pelajar UMK bagi tempoh 10 tahun.

“Antara inisiatif dicadangkan termasuk Biasiswa AEI bagi pelajar prasiswazah UMK berprestasi Kelas Pertama, Anugerah Kecemerlangan Akademik AEI-UMK, program latihan industri, pementoran, pembangunan kepimpinan dan pembangunan kerjaya,” katanya dalam kenyataan bersempena dengan Golf Amal UMK 2026 di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort baru-baru ini.

Sementara itu, RM50 juta lagi dicadangkan sebagai modal pertumbuhan bagi syarikat diasaskan alumni UMK yang berada pada peringkat pertumbuhan menerusi cadangan AEI-UMK Growth Capital Initiative.

Inisiatif berkenaan bertujuan menyediakan akses kepada modal serta jaringan industri, pelabur dan rakan strategik bagi membantu syarikat terbabit mengembangkan operasi, pasaran, teknologi, kapasiti dan meneroka pasaran antarabangsa.

Arham berkata penganjuran Golf Amal UMK bukan sekadar bertujuan mengumpul dana kebajikan pelajar, malah menjadi platform memperluas hubungan antara universiti, industri, alumni dan organisasi bukan kerajaan (NGO).

“Penganjuran ini bukan sekadar sebuah golf amal, tetapi merupakan platform untuk memperkukuh jaringan strategik antara UMK, NGO dan sektor korporat dalam menyokong kebajikan serta pembangunan pelajar,” katanya.

Beliau berkata cadangan berkenaan turut merangkumi konsep “UMK-to-Enterprise Growth Pipeline”, iaitu laluan pembangunan menghubungkan pendidikan dan kecemerlangan akademik dengan latihan industri, keusahawanan serta akses kepada modal pertumbuhan bagi syarikat alumni yang memenuhi kriteria.

Turut hadir sama, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra yang juga Pro-Canselor UMK dan Penaung Golf Amal UMK 2026, berkenan berangkat menyertai program itu. 

-- BERNAMA