JOHOR BAHRU, 20 Sept (Bernama) -- Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) memperkukuh usaha kebajikannya menerusi penyertaan dalam Pesta Hari Keluarga Johor dengan membuka reruai khas hasil kerjasama strategik bersama-sama Season Optical di Dataran Bandaraya di sini hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, inisiatif itu bersempena dengan pesta berkenaan yang diilhamkan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dan berlangsung secara serentak di empat daerah iaitu Johor Bahru, Kluang, Mersing dan Segamat.
YSIJ turut menyumbang kelengkapan sekolah kepada 10 pelajar memerlukan dan mengagihkan 10 unit cermin mata percuma di bawah program tajaan 4,000 unit kepada murid terpilih di negeri itu.
Selain itu, YSIJ bersama dengan Eco-Shop turut menyumbangkan 100,000 unit pelitup muka kepada empat daerah berkenaan susulan penangguhan acara itu yang dijadualkan pada 16 Sept lepas akibat jerebu.
Terdahulu, majlis perasmian Pesta Hari Keluarga Johor disempurnakan Raja Zarith Sofiah diiringi Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor dan Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.
Seri Paduka Baginda turut berkenan melawat khemah pameran termasuk reruai YSIJ dan beramah mesra bersama-sama rakyat yang hadir.
-- BERNAMA