KANGAR, 20 Sept (Bernama) -- Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 merekodkan kehadiran melebihi 55,000 pengunjung sepanjang penganjuran dua fasa pesta itu sekali gus memberi limpahan positif kepada kegiatan ekonomi setempat.
Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata kehadiran pengunjung dilihat merancakkan perniagaan premis makanan, inap desa, hotel dan rumah tumpangan yang dapat menyumbang peningkatan pendapatan perniagaan masing-masing.
"Satu pencapaian yang cukup bagus dan saya lihat banyak tempat perniagaan, kedai makan, inap desa dan hotel semua penuh,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup pesta air berkenaan di sini hari ini.
Beliau berkata sebanyak 19 kampung mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan yang dianjurkan termasuk aktiviti keceriaan kampung sekali gus memperlihatkan semangat masyarakat setempat dalam menjayakan program berkenaan.
“Tidak kira menang atau kalah, semangat ke Kuala Perlis itu terus diperhebat dalam acara-acara yang telah dipertandingkan,” katanya.
Abu Bakar berkata penganjuran pesta air itu akan diteruskan pada tahun depan dengan beberapa penambahbaikan antaranya pertandingan keceriaan kampung akan diberi lebih perhatian selepas aktiviti itu dilihat mampu menggalakkan perpaduan masyarakat serta menarik kehadiran orang luar.
-- BERNAMA