ALOR SETAR, 20 Sept (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah berpandangan tiada keperluan mendesak untuk membubarkan Parlimen seperti yang digesa Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Kedah Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.
Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kedah Tunku Nashrul Abaidah berkata gesaan yang dibuat itu jelas tidak mempunyai keperluan mendesak selain memenuhi nafsu politik UMNO.
"Kerajaan MADANI hari ini masih berfungsi dengan baik dan stabil, malah UMNO sendiri merupakan sebahagian daripada kerajaan serta punyai wakil dalam Jemaah Menteri.
"Jika UMNO turut bersama-sama mentadbir kerajaan, maka mereka juga perlu memahami prinsip tanggungjawab kolektif terhadap keputusan dan perjalanan pentadbiran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata gesaan berkenaan bercanggah dengan pendirian Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang baharu sahaja menegaskan bahawa parti itu akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal.
"Perjanjian Kerajaan Perpaduan yang dimeterai selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 juga jelas menetapkan kerjasama bagi tempoh lima tahun Parlimen ke-15. Jadi UMNO Kedah perlu menjelaskan sama ada mereka masih menghormati pendirian Presiden dan komitmen parti sendiri, atau mahu kestabilan negara dikorbankan semata-mata kerana percaturan politik," katanya.
Tunku Nashrul berkata UMNO perlu memahami bahawa berada dalam kerajaan bukan sekadar menikmati kedudukan dan kuasa kerana ia datang bersama-sama tanggungjawab kepada rakyat dan negara.
"Ketika ini rakyat mahu kerajaan menumpukan usaha kepada ekonomi, kos sara hidup dan kesejahteraan mereka, ini bukan masanya untuk bermain politik atau mencetuskan ketidaktentuan yang tidak perlu.
"PKR Kedah berpandangan tiada keperluan mendesak untuk Parlimen dibubarkan. Amanah yang ada harus digunakan untuk bekerja dan menyelesaikan masalah rakyat sehingga tamat penggal, bukannya tunduk kepada nafsu politik mana-mana pihak," katanya.
Terdahulu, media melaporkan Syed Mohd Johan Rizal menyarankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen supaya rakyat dapat menentukan sendiri kerajaan yang mereka mahukan.
-- BERNAMA