Oleh M. Saraswathi
KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Amden Capital Sdn Bhd, syarikat yang terlibat dalam pembiayaan penjagaan kesihatan dan pelancongan kesejahteraan, melihat potensi besar Korea Selatan untuk menjadi destinasi utama bagi rakyat Malaysia dan pesakit antarabangsa yang mendapatkan rawatan perubatan khusus, terutama dalam bidang yang mempunyai kepakaran pakar, teknologi canggih dan pengalaman luas dalam prosedur perubatan.
Dalam temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya Ranjit Singh berkata Korea Selatan mempunyai kepakaran khusus dalam bidang pembedahan plastik dan rekonstruktif, rawatan estetik, sedut lemak dan pembentukan kontur badan, kesihatan dan kesejahteraan wanita, kesihatan lelaki, rawatan vena varikos secara invasif minimum, onkologi, ortopedik, serta bidang terpilih dalam perubatan tradisional Korea dan program kesejahteraan.
Beliau berkata pendekatan syarikat itu bukan untuk mempromosikan Korea Selatan secara menyeluruh atau menggalakkan pesakit mendapatkan semua jenis rawatan di negara berkenaan, sebaliknya memberi tumpuan kepada bidang yang benar-benar menawarkan kelebihan dari segi kepakaran pakar, teknologi perubatan, pilihan rawatan atau pengalaman pesakit secara keseluruhan.
“Malaysia kekal sebagai pasaran penting bagi Amden Capital, namun inisiatif ini tidak terhad kepada rakyat Malaysia.
“Sejak 2025, kami secara berperingkat membina kehadiran antarabangsa dengan matlamat jangka panjang untuk memberi perkhidmatan kepada pesakit dari seluruh Asia Tenggara serta pasaran terpilih lain,” katanya.
Ranjit berkata kekuatan Korea Selatan berasaskan gabungan kepakaran perubatan yang sangat khusus, teknologi canggih, pengalaman luas dalam prosedur perubatan serta infrastruktur penjagaan kesihatan yang maju.
Beliau berkata pesakit perlu menilai nilai keseluruhan sesuatu rawatan, termasuk pengalaman pakar, teknologi, aspek keselamatan, tempoh penginapan yang diperlukan, keperluan pemulihan dan penjagaan susulan, dan bukannya sekadar membandingkan harga yang diiklankan.
Beliau turut menekankan kepentingan pengalaman pesakit yang bersifat peribadi dan diselaraskan dengan baik, meliputi komunikasi sebelum perjalanan, perkhidmatan jurubahasa, urusan janji temu, penginapan, pengangkutan, rawatan, pemulihan serta rawatan susulan selepas pesakit pulang ke negara asal.
Beliau berkata Amden Capital memperkenalkan inisiatif Care Verified by Amden Capital sebagai lapisan tambahan pengesahan dan ketelusan bagi pesakit yang mempertimbangkan rawatan di Korea Selatan.
Amden Capital telah dijemput dan menjadi tetamu Korea Health Industry Development Institute (KHIDI), sebuah organisasi yang disokong kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Korea Selatan, serta menjalin saluran komunikasi secara langsung dan terbuka dengan KHIDI dan rangkaiannya di negara itu.
“Melalui hubungan ini, kami boleh menggunakan saluran yang sewajarnya untuk membantu pesakit menyemak maklumat berkaitan hospital, klinik, pakar atau fasilitator perubatan yang dicadangkan,” katanya.
Amden Capital turut menandatangani 16 memorandum persefahaman (MoU) dengan organisasi di Gwangju, Busan dan Jeju dalam usaha membangunkan ekosistem pelancongan penjagaan kesihatan antarabangsa secara menyeluruh di Korea Selatan.
Dengan kerjasama rakan-rakan berkenaan, Amden Capital berhasrat menyelaras perjalanan pesakit, bermula daripada pengesahan dan penilaian penyedia perkhidmatan, rundingan dengan pakar dan perkhidmatan jurubahasa, kepada pengaturan perjalanan serta rawatan susulan selepas rawatan.
Bergantung pada kes, proses pengesahan itu mungkin merangkumi identiti dan status penyedia perkhidmatan, bidang kepakaran yang dinyatakan, kelayakan pakar, pengalaman mengendalikan pesakit antarabangsa, rawatan yang dicadangkan, anggaran kos, pengaturan sokongan kepada pesakit serta prosedur penjagaan susulan.
Beliau menegaskan bahawa Care Verified terbuka kepada sesiapa sahaja yang mempertimbangkan untuk mendapatkan rawatan di Korea Selatan, sama ada mereka merupakan pelanggan sedia ada Amden Capital atau tidak.
“Ia tidak menggantikan nasihat perubatan profesional atau menjamin keberhasilan sesuatu rawatan. Tujuannya adalah untuk menyediakan lapisan tambahan pengesahan dan ketelusan supaya pesakit dapat membuat keputusan berdasarkan maklumat yang lebih lengkap,” kata Ranjit.
Beliau menambah bahawa setiap kes masih perlu dinilai secara individu bagi menentukan sama ada rawatan yang dicadangkan dan perjalanan ke luar negara itu sesuai untuk pesakit berkenaan.
“Objektif jangka panjang kami adalah untuk meletakkan Amden Capital sebagai institusi penjagaan kesihatan dan pelancongan perubatan antarabangsa yang dipercayai, dengan menghubungkan pesakit kepada penyedia perkhidmatan yang sesuai serta sokongan yang diselaraskan merentas sempadan,” katanya.
-- BERNAMA