SUBANG JAYA, 17 Sept (Bernama) -- Sekolah Pendidikan, Sunway University memperkenalkan tiga program baharu dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, sekali gus menggariskan kepentingan memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak serta pembangunan profesional pendidik.
Tiga program berkenaan ialah Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dengan Keperluan Khas (Kepujian), Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Konvensional) dan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh, ODL).
Program berkenaan mencerminkan keperluan bidang pendidikan awal kanak-kanak yang sentiasa berkembang, selain menyediakan peluang kepada bakal pendidik dan pengamal bidang itu untuk memperkukuh pengetahuan serta kemahiran dalam mewujudkan pengalaman pembelajaran yang menyokong, inklusif dan bermakna bagi setiap kanak-kanak.
Program pendidikan awal kanak-kanak Sekolah Pendidikan, Sunway University itu dilancarkan secara rasmi di sini hari ini dalam majlis yang dihadiri Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan Sunway Prof Datuk Dr Elizabeth Lee.
Dalam ucapan alu-aluannya, Lee berkata pelancaran program baharu pendidikan awal kanak-kanak itu merupakan pencapaian penting yang mencerminkan komitmen universiti berkenaan dalam membentuk masa depan yang lebih inklusif, saksama dan mampan melalui pendidikan.
"Di Sunway University, kami percaya pendidikan merupakan antara kuasa terbesar dalam meningkatkan mobiliti sosial dan keadilan sosial.
"Dengan memperkukuh kualiti pendidikan awal kanak-kanak serta memajukan amalan pedagogi inklusif, kami membantu memastikan tiada kanak-kanak yang tercicir, khususnya mereka yang paling memerlukan sokongan kami," katanya.
Lee berkata program diploma berkenaan menggabungkan asas perkembangan kanak-kanak dengan pembelajaran praktikal, termasuk pengalaman praktikum berpandu di taska dan tadika.
Beliau berkata pilihan ODL melalui kaedah pembelajaran terbuka dan jarak jauh menawarkan alternatif pengajian kepada mereka yang perlu mengimbangi pendidikan dengan tanggungjawab lain.
"Program ijazah sarjana muda itu memberi penekanan khusus kepada keperluan pendidikan khas sebagai sebahagian daripada persediaan menyeluruh bagi golongan profesional pendidikan awal kanak-kanak.
"Secara bersama, laluan pengajian ini mencerminkan hasrat kami untuk menghubungkan pengetahuan mengenai perkembangan kanak-kanak dengan amalan pendidikan yang berteraskan pertimbangan dan keprihatinan.
"Kepentingannya akan terserlah melalui pertimbangan yang dibuat oleh graduan kita serta kualiti pengalaman yang mereka bantu wujudkan.
"Saya percaya sekolah ini turut meneroka pendekatan yang lebih menyeluruh melalui Ekonomi Pengalaman Kanak-Kanak (Children's Experience Economy), menerusi produk, perkhidmatan dan ruang yang saling berkaitan bagi membentuk pengalaman harian kanak-kanak, serta pengetahuan profesional yang diperlukan untuk menambah baik pengalaman berkenaan," katanya.
Turut hadir Dekan Sekolah Pendidikan, Sunway University Prof Dr Malissa Maria Mahmud.
Sementara itu, Fadhlina dalam ucapan perasmian berkata pengenalan program baharu pendidikan awal kanak-kanak oleh Sunway University merupakan antara usaha pembangunan komuniti yang dapat meningkatkan kepakaran serta profesionalisme tenaga pendidik, khususnya dalam bidang pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas.
"Ini mencerminkan komitmen nyata dalam menyediakan tenaga pendidik profesional yang berkeupayaan tinggi.
"Mudah-mudahan ia akan terus memberi manfaat kepada semua, khususnya dalam usaha kita meningkatkan dan memartabatkan mutu pendidikan negara," katanya.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memberikan perhatian terhadap usaha menyelaras serta mengambil alih pelbagai isu berkaitan pendidikan awal kanak-kanak untuk diletakkan di bawah kementerian itu menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Mengenai dasar mewajibkan pendidikan prasekolah, beliau berkata KPM turut memperluas sesi libat urus bersama ibu bapa bagi meningkatkan pemahaman mengenai kepentingan pendidikan awal kanak-kanak.
"Sekarang ini, kita sedang bertungkus-lumus melaksanakan peluasan (akses pendidikan awal) dan sesi libat urus dengan ibu bapa bagi memberikan pemahaman kepada mereka tentang betapa pentingnya pendidikan awal, bermula daripada zaman kanak-kanak, pendidikan awal kanak-kanak, prasekolah dan seterusnya mengikut proses pembelajaran yang selanjutnya," katanya.
-- BERNAMA