MELAKA, 17 Sept (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia (TDM) melaksanakan pelan latihan intensif, termasuk menjadikan Ujian Kemahiran Menembak Tentera Darat (UKM TD) sebagai medan saringan penembak elit pasukan sebelum menyertai Kejohanan ASEAN Armies Rifle Meet (AARM) 2026, November ini.
Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman berkata TDM tidak meletakkan sasaran spesifik susulan perubahan format latihan dan pertandingan, namun tetap yakin untuk bersaing secara kompetitif.
“Menerusi latihan-latihan dilaksanakan oleh pasukan tentera darat, insya-Allah kita akan capai keputusan yang baik pada kejohanan tahun ini.
"AARM menghimpunkan barisan penembak terbaik dalam kalangan anggota tentera darat dari negara ASEAN, dengan Malaysia sebagai tuan rumah bagi edisi kali ini. Bagaimanapun, Timor-Leste tidak menyertai kejohanan berkenaan tahun ini,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Penutupan UKM TD 2026 di Kem Terendak, Sungai Udang di sini hari ini.
Beliau berkata penganjuran AARM turut menjadi landasan strategik bagi memupuk semangat setiakawan dan perpaduan serantau dalam kalangan warga tentera darat dari negara ASEAN.
AARM ialah kejohanan menembak antarabangsa berprestij di rantau Asia Tenggara dan bagi edisi tahun ini, lima acara utama dipertandingan meliputi kategori individu dan berpasukan iaitu Raifal, Karbin, Pistol Lelaki, Pistol Wanita serta Senjata Mesingan, di samping acara kemuncak Jatuh Piring.
Mengulas mengenai UKM TD, Azhan berkata acara dwitahunan itu bukan sekadar kejohanan rutin, sebaliknya menjadi platform rasmi untuk TDM menguji kemahiran pengendalian senjata serta mengukur tahap kesiapsiagaan tempur.
UKM TD 2026 yang dianjurkan bermula 3 Sept dan berakhir hari ini disertai 729 peserta merangkumi 91 pegawai dan 638 anggota.
Ujian menembak berkenaan turut disertai tujuh agensi keselamatan dan penguatkuasaan lain termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Unit Tindakan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Johor Military Force dan Jabatan Penjara Malaysia.
Dalam pada itu, Azhan memaklumkan TDM akan menganjurkan dua lagi acara serentak iaitu Mesyuarat Panglima-Panglima Tentera Darat ASEAN (ACAMM) dan ASEAN Army Sergeant Majors Annual Meeting (ASMAM).
"Menerusi ACAMM, panglima-panglima tentera darat ASEAN akan membincangkan isu keselamatan serantau serta usaha memperkukuh kerjasama ketenteraan, manakala ASMAM pula menjadi medan perbincangan pegawai tidak bertauliah paling kanan berkaitan pembangunan profesional, kepimpinan dan hala tuju anggota lain-lain pangkat," katanya.
-- BERNAMA