KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Jenama teh dari Britain, Ahmad Tea meraikan ulang tahun ke-40 menerusi sambutan Jubli Delima di Malaysia, yang menandakan empat dekad legasi keluarga dan kepakaran dalam pembuatan teh, di samping memperkenalkan produk terbaharunya, Sencha.
Ahmad Tea memaklumkan syarikat milik keluarga itu turut melantik pemain bola sepak Liga Perdana Inggeris, Antoine Semenyo selaku Duta Jenama Global sebagai sebahagian daripada kempen global “Preparation Is Everything” yang mengetengahkan kepentingan persediaan, disiplin dan konsistensi dalam mencapai kecemerlangan.
Ditubuhkan di Southampton, England, pada 1986 oleh Rahim Afshar dan adik-beradiknya, Ahmad Tea bermula dari sebuah kedai teh keluarga kecil yang diasaskan berdasarkan prinsip kualiti tidak boleh dikompromi dan setiap produk seharusnya layak dihidangkan di rumah keluarga sendiri.
“Berbekalkan pemilihan teh yang rapi, adunan yang mahir serta komitmen tidak berbelah bahagi terhadap kualiti, Ahmad Tea telah memperluas rangkaian produk merangkumi teh hitam klasik Britain, teh herba yang diolah dengan teliti serta pelbagai varieti teh moden. Kepelbagaian itu bukan sahaja mencerminkan warisan syarikat tetapi juga cita rasa peminat teh yang sentiasa berkembang di seluruh dunia,” menurut Ahmad Tea dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, pelancaran Sencha turut memperlihatkan perkembangan berterusan Ahmad Tea dalam memperluas kepakaran adunan tehnya kepada gaya sajian teh yang baharu, di samping meraikan kepelbagaian tradisi dan cita rasa penggemar teh masa kini.
Sambutan Jubli Delima di Malaysia menampilkan paparan Dinding Warisan 40 tahun, sesi merasa pelbagai teh serta pameran rangkaian produk teh keluaran syarikat itu.
Memasuki dekad kelima penubuhannya, Ahmad Tea memaklumkan syarikat itu kekal komited untuk terus berkembang seiring dengan kehendak pengguna, di samping mempertahankan prinsip yang menjadi panduan perniagaan keluarga berkenaan sejak syarikat terbabit ditubuhkan.
-- BERNAMA